Mas Ermieyati…antara kejayaan, cabaran dan cemuhan




DATUK Mas Ermieyati Samsudin adalah Timbalan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan. Beliau merupakan Ahli Parlimen Masjid Tanah sejak Mei 2013 setelah memenanginya pada Pilihanraya Umum Ke-13 dengan majoriti 16,200 menewaskan calon PAS iaitu Mohd Nasaie Ismail.

Beliau yang juga Ketua Pergerakan Puteri UMNO merupakan wanita pertama dari negeri Melaka yang terpilih sebagai Ahli Parlimen.

Baru-baru wartawan theRakyat.com, SYAHRIL A. KADIR menemuramah wakil rakyat lulusan dalam bidang undang-undang dari UKM itu sewaktu beliau sedang mengadakan program bertemu rakyat di kawasan parlimennya

SOALAN: Datuk baru berusia 42 tahun tetapi dalam usia semuda ini, Datuk telah diberi peluang dan tanggungjawab yang cukup besar iaitu untuk menjadi Ahli Parlimen, Ketua Puteri UMNO dan Timbalan Menteri.

ME: Sejujurnya bila saya mendaftar menjadi ahli UMNO, saya tak pernah termimpi satu hari nanti saya akan jadi Ahli Parlimen, menjadi Ketua Puteri UMNO Malaysia dan seterusnya menjadi Timbalan Menteri seperti mana sekarang.

Hari ini saya bersyukur kerana Ketua UMNO Bahagian Masjid Tanah, Datuk Rauf juga berada di kawasan ini. Beliau sangat rajin, sangat memahami jadi kita sentiasa bekerja bersama-sama.

Saya masih ingat lagi, ketika saya masuk UMNO, saya baru bergelar seorang peguam. Ada orang kata selalunya golongan profesional susah nak diterima dalam UMNO tetapi saya langsung tidak berhadapan dengan perkara sebegitu. Malah kemasukan saya sangat dialu-alukan.

Masa tu Ketua UMNO Bahagian Masjid Tanah juga seorang peguam iaitu Tan Sri Abu Seman Yusuf. Beliau mempunyai firma guamanya sendiri.

Saya jadikan dia mentor untuk saya berjaya dalam karier saya, disebabkan itu akhirnya saya pun menubuhkan firma guaman saya sendiri.

SOALAN: Mungkin sebab ‘ketua’ Datuk seorang peguam jadi beliau suka orang seperti Datuk menyertai UMNO, bagaimana dengan yang lain?

ME: Ramai kawan-kawan profesional saya berada dalam pucuk pimpinan dan juga ahli Puteri. Kehadiran mereka juga saya nampak dialu-alukan oleh parti.

Puteri memberi saya dan anak muda lain peluang yang lebih luas, ruang yang lebih terbuka untuk berada bersama-sama dalam parti dan mencurahkan bakti mereka.
Saya juga merasa kesan hasil daripada penubuhan Puteri UMNO itu sendiri.

SOALAN: Siapa yang menjadi Ketua Puteri UMNO akan sering dibandingkan dengan Datuk Seri Azalina Othman Said, apa komen Datuk?

ME: Azalina adalah mentor saya. Di peringkat awal kemasukan saya dalam Puteri, saya bertuah sebab saya berada di bawah kepimpinan beliau. Saya juga bertuah kerana sempat merasakan sentuhan pemimpin Puteri selepas itu seperti Datuk Noraini dan Datuk Rosnah Shirlin.

Kalau ditanya tentang perbandingan, mereka masing-masing ada gaya kepimpinan tersendiri.

Sebab itu apabila saya diberi peluang untuk memimpin Puteri, saya meletakkan Azalina sebagai rujukan.

Pun begitu, pada masa yang sama, saya juga banyak belajar daripada Noraini dan Rosnah, sampai sekarang saya masih menghubungi mereka untuk mendapatkan apa-apa nasihat yang perlu.

Saya juga ada ‘style’ kepimpinan saya sendiri.

Corak antara saya dengan ketiga-tiga Ketua Puteri sebelum ini pasti ada perbezaan, tapi hala tuju dan fokus kami semua tetap sama.

Saya tahu saya baru lima tahun, tak banyak yang dapat saya lakukan tetapi saya berikrar akan buat sehabis baik. Banyak juga yang kita lakukan sebenarnya.

Contohnya dengan golongan pelajar, kita tubuh Sekretariat Mahasiswi Nasional (SWINAS). Kita mulakan ‘networking’ dengan wanita-wanita muda Asean dan antarabangsa.

Itu satu ‘bonding’ yang baru, yang perlu dilihat dari sudut yang lain, bukan hanya dari sudut nasional tetapi juga kita telah pergi ke peringkat antarabangsa.

Selain itu sentuhan saya kepada industri kreatif supaya hari ini anak muda lebih menghargai mereka di dalam industri berkenaan.

Contohnya bukan hanya pemuzik, tetapi pelukis jalanan, pengkarya seni dan lain-lain lagi yang sebelum ini tidak begitu dipedulikan.

Sebab itu untuk pertama kalinya di bawah Puteri UMNO, kita ada Biro Pembangunan Kreatif.

Saya juga telah melebarkan sayap Puteri UMNO yang kini ahlinya telah mencecah lebih 400,000 orang dengan mengembangkan peranan kita di kalangan parti-parti komponen lain supaya kita boleh membawa negara kita ke arah Malaysia yang lebih progresif dan dinamik.

SOALAN: Ada yang mengatakan Puteri UMNO telah menjadi sebuah pergerakan untuk golongan ‘elit’ hingga membuatkan ramai anak muda ‘marhaen’ menjauhkan diri daripadanya. Sejauh manakah kebenarannya?

ME: Kalau tanya saya soalan itu jawapan saya tidak sama sekali. Saya pun orang kampung juga. Saya Puteri ‘kampung’. Yang penting di sini cara pendekatan kita terhadap anak muda.

Kalau di luar bandar mungkin caranya agak berbeza dengan mereka yang di bandar. Keinginan dan kemahuan mungkin berbeza. Tuntutan mereka juga berbeza.

Saya percaya kematangan pemimpin Puteri penting sekali. Bagaimana mereka ingin mengemudi, bagaimana mereka hendak menarik anak-anak muda di bandar maupun di desa untuk bersama-sama kita.

SOALAN: Bagaimana pula hubungan Puteri dan Wanita UMNO?

ME: Hari ini saya melihat hubungan yang terjalin lebih terbuka. Saya selalu berpesan dengan ahli Puteri yang Wanita UMNO ini ibarat ibu kita dan kita harus hormat, belajar dan menimba pengalaman yang ada pada mereka untuk kita bawa bekalan bila hendak menjadi pemimpin.

Mak saya sendiri ketua Wanita cawangan.

Saya lihat mak saya dan rakan-rakannya sangat komited, cakaplah apa pun program parti, mereka akan bekerja bersungguh-sungguh. Begitulah sifat Wanita UMNO di mana-mana saja.

Yang penting bagaimana hendak bawa diri kita sebagai ahli atau pun pemimpin muda, itu cukup penting sekali.

SOALAN: Di awal perlantikan Datuk sebagai Timbalan Menteri lagi, Datuk telah berhadapan dengan cabaran hebat. Lebih tepat lagi isu berkaitan Sistem Pengurusan Maklumat Bersepadu (IMAMS) kepada permohonan visa umrah yang dilancarkan oleh Datuk sendiri – yang akhirnya dibatalkan setelah mendapat bantahan kuat dari masyarakat.

ME: Di sini saya melihat komunikasi amat penting sekali. Kita sebagai penjawat awam, komitmen kita cukup besar. Apabila saya buat pengumuman mengenai perkara tersebut pada hari Jumaat, saya sendiri ambil tanggungjawab untuk mengumumkan pembatalannya dalam tempoh tak sampai 24 jam.

Saya tidak lari dari tanggungjawab saya. Walaupun pelbagai cemuhan yang saya terima, saya ambil tanggungjawab itu.

Apabila keputusan dibuat yang selepas ini segala perkara dan urusan umrah akan diselaraskan di bawah Jabatan Wakaf Zakat dan Haji (JAWHAR), saya rasa syukur kerana sejak awal saya diberikan mandat untuk memegang porfolio yang menjaga umrah, saya mempunyai kakitangan yang begitu komited walaupun kita tak ramai.

Sebenarnya kita nak membanteras penipuan umrah yang makin menjadi-jadi.

Apapun saya doakan agar usaha untuk membanteras pihak yang tidak bertanggungjawab, yang menipu dan yang mengambil kesempatan ke atas jemaah umrah ini, akan terus dilaksanakan.

Alhamdulillah, walaupun apa yang terjadi telah benar-benar ‘menguji’ saya namun saya mendapat sokongan kawan-kawan, kakitangan, keluarga dan warga kerja. ini cukup penting sekali.

Ini pengalaman yang cukup mahal, walaupun ia perit dan ‘cukup menyakitkan’. – theRakyat.com

Sumber : theRakyat.com

Popular posts from this blog

3 Lagenda Malaysia Gegarkan Paralimpik Rio 2016

CERGASKAN DIRIMU DI HARI SUKAN NEGARA 2016