14.9 juta penentu mandat ke Putrajaya



PENCARIAN mandat menuju ke Putrajaya secara rasminya sudah bermula dengan pengumuman pembubaran Parlimen, berkuat kuasa hari ini.

Ini sekali gus mengakhiri teka-teka sejak lebih setahun lalu mengenai bila Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) diadakan.


Kini terpulang kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk menentukan tarikh penamaan calon dan pengundian.


Ramai pihak menyifatkan pilihan raya umum kali ini sebagai 'bapa segala pilihan raya' lebih-lebih lagi dengan kehadiran bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang mahu kembali menjadi perdana menteri pada usia 93 tahun sekiranya pembangkang menang.

Barisan Nasional (BN) yang mentadbir negara sejak enam dekad lalu dijangka menghadapi saingan sengit daripada parti pembangkang yang menggelarkan gabungan mereka sebagai Pakatan Harapan (PH). Persoalannya, mampukah PH merampas Putrajaya - Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, yang mereka idamkan sejak tiga pilihan raya umum lalu?

Ketika BN diketuai UMNO bersama 12 lagi parti komponen bersiap sedia untuk PRU-14 ini, PH yang diketuai DAP bersama Parti Keadilan Rakyat (PKR), Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dan Parti Amanah Negara (PAN) masih tercari-cari titik persamaan, persefahaman serta kesepaduan sebagai satu gagasan untuk menyaingi BN.

Kecelaruan masih berlaku
Landskap politik negara mengalami perubahan signifikan ekoran kemelut dalam UMNO dan perpecahan dalam kalangan parti pembangkang sehingga Pakatan Rakyat (PR), yang dibentuk bersama DAP, PAS dan PKR, terkubur pada Jun 2015 dan akhirnya membawa kepada penubuhan PH.

Kecelaruan masih berlaku. Kelmarin, Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) mengeluarkan perintah pembubaran sementara PPBM dan memberi tempoh 30 hari untuk parti itu melengkapkan butiran yang diperlukan atau berdepan pembubaran.

Keadaan ini menyebabkan semua 52 calonnya bertanding menggunakan logo parti lain dalam PH, sama ada DAP, PKR atau PAN, seperti diakui Pengerusinya, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang, pula kecewa apabila logo parti itu yang sudah berusia 50 tahun, tidak akan digunakan pada PRU-14. Sebelum ini, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, mengumumkan persetujuan menggunakan satu lambang yang dipersetujui semua parti dalam PH bagi PRU-14.

Keputusan itu diambil selepas kegagalan PH didaftar sebagai pakatan untuk bertanding dalam PRU-14. Selain PH, BN juga dijangka berdepan dengan blok ketiga politik yang dinamakan Gagasan Sejahtera terdiri daripada PAS dan Parti Ikatan Bangsa Malaysia (IKATAN) serta calon Bebas.

PAS sudah mengumumkan untuk bertanding sekurang-kurangnya di 130 kerusi Parlimen.
Semua senario ini memungkinkan pertandingan tiga penjuru di kebanyakan kerusi terutama kawasan pinggir bandar dan luar bandar.

Pertembungan ini bakal menyaksikan saingan antara UMNO, PAS dan PAN atau PKR, manakala di kawasan bandar membabitkan saingan antara BN diwakili MCA dan GERAKAN, berdepan DAP.

Seperti pada PRU-13, mungkin PRU-14 sekali lagi menyaksikan tiada kerusi dimenangi tanpa bertanding, untuk merebut semua 222 kerusi Parlimen, bayangan PRU-14 antara paling sengit dalam sejarah pilihan raya di negara ini.

Semalam, Datuk Seri Najib Razak menegaskan bahawa pembubaran Parlimen itu menzahirkan komitmen kerajaan BN terhadap proses demokrasi berparlimen dengan membolehkan PRU-14 dijalankan menurut lunas undang-undang.

Kuasa di tangan rakyat
Menegaskan bahawa kuasa untuk memilih kerajaan berada sepenuhnya di tangan rakyat, Perdana Menteri berkata, semua pihak khususnya parti bertanding wajib memahami bahawa Malaysia mengamalkan sistem pilihan raya yang berasaskan jumlah kerusi dimenangi dan bukannya berdasarkan kiraan undi popular.

"Kami akan meyakinkan rakyat Malaysia mengenai manifesto dan hala tuju negara yang direncanakan (manifesto dan hala tuju negara), yang kami carta serta rencanakan dengan teliti, agar pengundi memberi mandat dan peluang sekali lagi kepada kami, untuk membentuk sebuah kerajaan yang kuat lagi stabil, dengan majoriti yang kukuh.

"Dengan izin Tuhan, jika kemenangan sekali lagi berpihak kepada BN, kami sesungguhnya berjanji dan berikrar, akan melakukan yang terbaik, lebih baik daripada sebelumnya, dengan melakukan transformasi yang lebih besar, inklusif lagi komprehensif kepada rakyat serta negara," katanya.

BN tidak memperoleh majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat pada PRU 1969, 2008 dan 2013. Apakah senarionya berubah kali ini, ketika kecelaruan masih membelenggu PH dan pada masa sama, BN diterajui Najib terus menunjukkan pencapaian terbaik dalam pelbagai bidang termasuk ekonomi?

Pada PRU-13, BN memenangi 133 kerusi Parlimen, manakala DAP (38), PKR (30) dan PAS (21). Komposisi itu sudah berubah berikutan tindakan wakil rakyat bertukar parti dan keputusan beberapa pilihan raya kecil.

Sebelum pembubaran, BN menguasai 132 kerusi, manakala selebihnya disandang DAP (36); PKR (28); PAS (13); PAN (7); Parti Warisan Sabah (2), Parti Sosialis Malaysia (PSM) dan PPBM masing-masing satu kerusi serta dua anggota Bebas.

Namun, sudah semestinya tumpuan turut diberi kepada Sabah yang mempunyai 25 kerusi Parlimen dan Sarawak (31 kerusi Parlimen) hingga ada yang menyatakan bahawa kedua-dua negeri itu sebagai penentu.

Kini, terserah kepada 14.9 juta pemilih berdaftar yang layak mengundi menentukan siapa bakal menguasai Putrajaya.

Sumber : Berita Harian

Popular posts from this blog

3 Lagenda Malaysia Gegarkan Paralimpik Rio 2016

CERGASKAN DIRIMU DI HARI SUKAN NEGARA 2016