Puteri UMNO Kuasai Media Sosial


SEPANG: Pergerakan Puteri UMNO perlu mendominasi media sosial bagi memenangi hati rakyat dengan fakta dan kebenaran dalam mendepani persaingan era baharu politik yang terbuka dan mencabar, kata Ketuanya YB Datuk Hjh Mas Ermieyati Samsudin.

Beliau berkata ledakan teknologi maklumat menuntut anggota Puteri bergerak seiring perkembangan semasa agar dapat menangani perbuatan pembangkang melakukan propaganda dan fitnah secara tersusun, berfakta dan berhemah.

Katanya, politik bersifat arah dan kawal yang menjadi strategi ampuh sejak sekian lama melalui pelaporan di media konvensional tidak lagi mudah diterima menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang khususnya oleh kalangan pengundi muda.

"Dalam era politik langit terbuka kini, kita tidak boleh bergantung kepada cara politik lama untuk mendominasi rakyat, sebaliknya perlu turut serta bertempur di arena sama dengan kaedah yang digunakan pihak lawan.

"Kita harus sedar PRU ini cabarannya berbeza dan perlu bersedia mendepaninya dengan menguasai kecenderungan generasi muda mendapatkan maklumat seperti di laman Facebook, Twitter atau WhatsApp dan Instagram," katanya ketika berucap merasmikan Persidangan Perwakilan Puteri UMNO Bahagian Sepang di sini.

Turut hadir Ketua UMNO Sepang Datuk Marsum Paing dan Ketua Puteri UMNO Sepang Siti Zubaidah Abu Bakar.

Mas Ermieyati berkata penguasaan media sosial sangat penting terutama ketika pihak pembangkang dilihat terus menggunakan Internet untuk menaburkan dakwaan tidak benar membabitkan kerajaan.

Dalam pada itu, Mas Ermieyati sependapat dengan saranan dalam persidangan itu bahawa sudah tiba masanya bagi anggota-anggota UMNO diberi keistimewaan untuk mendapatkan kuota pekerjaan dalam sektor awam dan pemilikan Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) dalam kerajaan di bawah Barisan Nasional (BN) yang ditunjangi UMNO.

Menurutnya isu perumahan sentiasa dekat dengan pergerakan itu dan diperjuangkan oleh Puteri UMNO sebagai sebahagian usaha dalam menghargai kesetiaan dan peranan yang dimainkan setiap anggotanya.

"Sebagai tunjang kepada keutuhan kerajaan, tidak keterlaluan kalau saranan itu diperkenankan kerana tanpa perjuangan dan pengorbanan tersebut kekuatan yang ada sukar dipertahankan," katanya.
-BERNAMA

Popular posts from this blog

3 Lagenda Malaysia Gegarkan Paralimpik Rio 2016

CERGASKAN DIRIMU DI HARI SUKAN NEGARA 2016