Projek Mega Dilaksanakan Kerajaan Bukan Untuk Kemegahan Sahaja - Najib

PUTRAJAYA, 26 JAN 2017 : Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan, projek infrastruktur dan perhubungan mega yang dilaksanakan kerajaan ketika ini bukan untuk kemegahan semata-mata.

Image result for najib razak
Perdana Menteri mahu Kementerian Kewangan memudahkan urusan untuk kementerian terlibat bagi memastikan kelancaran projek yang dibangunkan.

Sebaliknya, projek berkenaan dibangunkan untuk merangsang ekonomi dan memberi peluang pekerjaan berpendapatan tinggi kepada penduduk.

"Saya perlu tegaskan bahawa projek-projek ini bukan projek bersifat untuk kemegahan sahaja, bukan projek yang kita sebut sebagai projek yang mewah, tetapi projek ini membantu ke arah merangsang ekonomi negara kita dan ia memberi peluang pekerjaan high paying jobs selain memberi peluang kontrak-kontrak pada peringkat level kedua terutama sekali kepada syarikat-syarikat tempatan termasuk kontraktor Kelas F," katanya semasa menyampaikan ucaptama pada Perhimpunan Khas Bulanan Kementerian Kewangan di sini hari ini.

Antara projek mega berkenaan termasuk Pan Borneo Highway, Rapid Pengerang di Johor, Bandar Malaysia, Tun Razak Exchange (TRX), East Coast Rail Link (ECRL) dan Keretapi Berkelajuan Tinggi (HSR).

Pada masa sama katanya, pelaksanaan projek berkenaan akan menyumbang kepada rangkaian perhubungan yang lebih baik, sekali gus menyumbang kepada pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

"Justeru, kesemua projek ini perlu dipastikan dilaksanakan dengan cekap, bertunjangkan komitmen kepada tadbir urus yang baik," tegasnya.

Dalam pada itu, Perdana Menteri mahu Kementerian Kewangan memudahkan urusan kewangan untuk kementerian terlibat bagi memastikan kelancaran projek yang dibangunkan.

Ia berikutan katanya, 2017 adalah fokus utama kementerian itu untuk menekankan aspek penyampaian.

"Ini bererti bahawa sebagai sebuah kementerian dan agensi yang bertanggungjawab atas urusan kewangan negara, maka kita mesti facilitate dan pastikan bahawa semua kementerian tidak menghadapi kekangan untuk melaksanakan program ataupun projek berdasarkan kepada penyampaian yang lebih berkesan yang diharapkan oleh rakyat," jelasnya.

Justeru, beliau berharap melalui pendekatan berkenaan, Najib berharap kekurangan kewangan bukan lagi alasan mana-mana kementerian untuk tidak melaksanakan projek yang diamanahkan.

"Duit tidak sampai lagi atau bajet tidak cukup selalu dijadikan luahan atau alasan sama ada tepat atau tidak.

"Ini saya harap kita semua beri perhatian yang serius supaya tidak dijadikan alasan oleh mana-mana kementerian untuk tidak memulakan program atas projek mereka," ujarnya. -AWANI

Popular posts from this blog

CERGASKAN DIRIMU DI HARI SUKAN NEGARA 2016

3 Lagenda Malaysia Gegarkan Paralimpik Rio 2016