Ekspresi Negaraku Platform Cintakan Negara

PUTRAJAYA, 18 MAC 2017 : Para peserta dan pengunjung hadir seawal jam 6.00 pagi untuk Ekspresi Negaraku di Perbadanan Putrajaya hari ini di mana ia mendapat sambutan yang sangat menggalakkan dari orang ramai.

Ekspresi Negaraku merupakan satu platform yang membolehkan rakyat Malaysia meluahkan rasa cinta akan negara dan sambutannya amat positif dengan kehadiran ribuan pengunjung dari segenap lapisan masyarakat,

YAB Perdana Menteri, Dato' Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak turut hadir melancarkan inisiatif 'Negaraku' seterusnya melawat ruang pameran serta meluangkan masa bersama rakyat yang hadir di Dataran Putrajaya, berhadapan dengan Istana Kehakiman.

Ekspresi Negaraku merupakan platform pertama bagi pelaksanaan Negaraku, sebuah inisiatif yang dipacu oleh rakyat dengan bertunjakkan semangat cintakan Malaysia. Inisiatif ini bertujuan untuk menyemarakkan lagi rasa cintakan negara dalam setiap jiwa rakyat Malaysia.

"Saya cukup berbangga dan berbesar hati kerana ramai yang hadir pada hari ini atas tujuan yang sama iaitu untuk mengekspresikan semangat cintakan negara.

"Tanggungjawab untuk Negara ini adalah tanggungjawab kita bersama. Kalau bukan kita, kesemua 31 juta rakyat Malaysia yang sayangkan dan mempertahankan Negara ini, siapa lagi?

"Justeru, ekspresikanlah rasa kecintaan terhadap Negara kita melalui tindakan-tindakan serta kata-kata positif," ujar YAB Perdana Menteri dalam ucapan pelancaran Ekspresi Negaraku pagi tadi.

Biarpun secara simbolik, namun teriakan Negaraku Malaysia yang dilaungkan oleh YAB Perdana Menteri bersama kesemua Rakyat yang hadir menggambarkan kesatuan dan kecintaan terhadap Negaraku Malaysia.

Ianya ibarat satu laungan kesedaran dan kebanggan yang tidak kira apa latar belakang budaya atau ideologi, tanggungjawab memelihara kedaulatan, keharmonian serta keamanan negara ini dipikul bersama.

Pemilihan Dataran Putrajaya sebagai tapak pelancaran inisiatif ini merupakan satu tanda penghargaan dalam meraikan dedikasi penjawat awam berkhidmat demi negara.

Platform Ekspresi Negaraku bakal diadakan di beberapa lokasi lain di seluruh Malaysia.

Ekspresi Negaraku ini juga turut dihadiri oleh isteri YAB Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor, Ahli-Ahli Kabinet Menteri seperti Timbalan Menteri, Dato Seri Ahmad Zahid Hamidi, Menteri Pertahanan Malaysia, Dato Seri Hishammuddin Hussein, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Dato Seri Salleh Keruak, Timbalan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia, Dato Hjh Mas Ermieyati Samsuddin dan ramai lagi.


Popular posts from this blog

3 Lagenda Malaysia Gegarkan Paralimpik Rio 2016

CERGASKAN DIRIMU DI HARI SUKAN NEGARA 2016