Jadikan Kejayaan Dr Nor Syahairah Sebagai Inspirasi - Mas Ermieyati

Pencapaian membanggakan Dr Nor Syahairah Mohd Nor yang dinobatkan sebagai pelajar terbaik perubatan daripada Universiti Perubatan Warsaw, Poland harus menjadi inspirasi kecemerlangan pelajar negara ini.

KUALA LUMPUR: Pencapaian membanggakan Dr Nor Syahairah Mohd Nor yang dinobatkan sebagai pelajar terbaik perubatan daripada Universiti Perubatan Warsaw, Poland harus menjadi inspirasi kecemerlangan pelajar negara ini.

Ahli Parlimen Masjid Tanah Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata ia sekaligus platform terbaik yang harus dicontohi terutama pelajar di dalam bidang perubatan sendiri.

"Saya mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan tahniah di atas pencapaian membanggakan Dr Nor Syahairah Mohd Nor yang telah mengharumkan nama negara di mata dunia setelah dinobatkan sebagai pelajar terbaik perubatan sekaligus menerima anugerah Golden Graduation bagi kecemerlangan akademik dan pencapaian luar biasa daripada Universiti Perubatan Warsaw, Poland.

"Bukan sesuatu yang mudah untuk menggapai segulung ijazah di kala berdepan dengan pelbagai cabaran sepanjang berada di negara orang, apatah lagi untuk mendapat penghargaan tertinggi dari sesebuah universiti terkemuka dunia.

"Pencapaian memberangsangkan anak kelahiran Masjid Tanah ini secara tidak langsung menjadi sumber inspirasi untuk anak-anak Masjid Tanah serta pelajar yang turut ingin melanjutkan pelajaran di bidang perubatan atau dalam bidang lain supaya belajar bersungguh-sungguh agar dapat menabur bakti kepada rakyat Malaysia setelah tamat pengajian," katanya kepada Astro Awani di sini hari ini.

Anugerah diterima Dr Nor Syahairah diberikan kepada yang terbaik dalam kalangan lebih 70 pelajar antarabangsa dari Kesatuan Eropah, negara Timur Tengah dan Malaysia.

Turut mengharumkan nama negara, Dr Nur Aini Sharkhan dan Dr Mohamad Amirul Akram Mashum yang berjaya menamatkan pelajaran dengan memperoleh markah antara yang tertinggi.

Dalam pada itu, kata Mas Ermieyati, kejayaan Dr Nor Syahairah juga membuka mata pelbagai pihak di universiti pengajian perubatan antarabangsa untuk terus yakin dengan keupayaan negara menghasilkan lebih ramai doktor muda berkemahiran tinggi.

"Ia sekaligus bukti kita mampu menggalas tanggungjawab penting ke arah peningkatan kualiti kesihatan masyarakat Malaysia.

"Tahniah juga diucapkan kepada seluruh tenaga pengajar dan ibu bapa beliau di atas kejayaan doktor muda ini kerana telah menjadi tulang belakang untuk sentiasa menyokong dan mendorong ke arah pembentukan sahsiah yang baik sepanjang pembelajaran di universiti.

"Saya percaya melalui kejayaan yang dikecapi oleh doktor muda ini, ia telah menjadi penanda aras baru di dalam bidang perubatan negara sekaligus memberi mesej positif terhadap aspirasi yang bakal dijayakan dalam kerangka Transformasi Nasional 2050 untuk generasi akan datang," jelasnya.

SUMBER : ASTRO AWANI

Popular posts from this blog

3 Lagenda Malaysia Gegarkan Paralimpik Rio 2016

CERGASKAN DIRIMU DI HARI SUKAN NEGARA 2016