DAP Tidak Boleh Bertanding untuk PRU 14?

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyampaikan ucapan perasmian Mesyuarat UMNO Bahagian Gombak. -Foto Bernama

KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, DAP tidak boleh meletakkan calonnya untuk bertanding pada pilihan raya umum akan datang jika mereka tidak mematuhi arahan Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS).

Ini kerana kata beliau, berdasarkan Akta Pertubuhan 1966, watikah calon pilihan raya sesebuah parti politik perlu ditandatangani pegawai atau yang telah diberikan mandat oleh parti.

"Jika barisan kepimpinan parti itu yang mahu menghantar calon merupakan jawatankuasa atau (barisan) kepimpinan yang tidak diiktiraf ROS, maka watikah tidak boleh dikeluarkan mahupun diterma.

"Maka akibatnya, calon-calon daripada parti berkenaan tidak boleh bertanding," kata Ahmad Zahid kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Gombak.

Baru-baru ini Ketua Pengarah ROS, Datuk Mohammad Razin Abdullah dilaporkan berkata pelantikan 20 anggota Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP serta pemegang jawatan utama hasil pemilihan semula yang diadakan pada 29 Sept 2013 adalah tidak sah dari segi undang-undang.

Sehubungan itu ROS, mengeluarkan arahan agar DAP mengadakan pemilihan semula anggota CEC untuk memilih 20 anggota yang sah, berpandukan Akta Pertubuhan 1966 dan Perlembagaan Parti DAP.

Pemilihan semula DAP pada September 2013 itu menimbulkan kontroversi selepas ia dikatakan tidak didasarkan kepada senarai nama perwakilan berhak hadir dan mengundi pada pemilihan CEC DAP bertarikh 15 Disember 2012, melibatkan 2,576 perwakilan dari 865 cawangan.

Mohammad Razin dilaporkan berkata, ROS berpendirian pelantikan anggota CEC dan pemegang jawatan utama melalui pemilihan semula itu tidak sah berdasarkan aduan-aduan yang dibuat anggota DAP sendiri yang tidak berpuas hati dengan kepincangan dalam proses pemilihan semula CEC pada 29 September 2013. -BERNAMA

Popular posts from this blog

3 Lagenda Malaysia Gegarkan Paralimpik Rio 2016

CERGASKAN DIRIMU DI HARI SUKAN NEGARA 2016