Puteri UMNO Bukan Anak Manja


USIA Puteri UMNO telah menjangkau 16 tahun. Ia merupakan satu perjalanan yang cukup panjang sejak dilancarkan pada 2001.

Seiring dengan usianya, Puteri UMNO semakin matang dalam setiap tindakan dan keputusan yang dibuat. Bahkan Puteri memainkan peranan cukup penting dalam meneruskan perjuangan UMNO, kini.

Walaupun lahir sebagai anak bongsu kepada UMNO, istilah manja itu tiada dalam kamus Puteri. Puteri sebagai sayap yang boleh diharap untuk membuat kerja dan setia kepada parti.

Puteri Umno tidak mahu hayatnya terkubur saat usianya menjangkau 25 tahun, sebaliknya tetap kekal relevan sepanjang zaman.

Ikuti temu bual khas, Sinar Harian bersama wartawan SITI ZUBAIDAH MAT ISA dan juru foto, AFIQ RAZALI bersama Ketua Puteri UMNO, Datuk Mas Ermieyati Samsudin di pejabatnya di Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan, baru-baru ini.

Puteri Umno menjengah 16 tahun usia penubuhannya. Apakah signifikan usia ini kepada Puteri UMNO?

Usia Puteri Umno yang telah menjangkau 16 tahun merupakan satu perjalanan yang cukup panjang. Saya antara yang bertuah berada sepanjang proses penubuhannya, semasa dilancarkan pada 2001, sewaktu bermulanya Puteri Umno dan hari ini saya mengepalainya.

Saya melihat Puteri adalah platform terbaik untuk melahirkan ramai pemimpin wanita muda di Malaysia. Ia juga sebagai tempat untuk memberi pendedahan kepada mereka selain mencungkil bakat untuk digilap menjadi aset negara.

Kami tidak hanya fokus pada politik tetapi, juga pada kluster lain seperti pendidikan dan perubatan. Apabila berada dalam platform ini, banyak pendedahan diberikan kepada anak muda, sekali gus memberikan mereka inspirasi.

Yang penting kemahuan itu mesti ada (dalam setiap ahlinya), bahawa melalui pengalaman yang diperoleh (dalam Puteri), mereka dapat menyumbang untuk negara.

Ini juga merupakan penggal terakhir saya dalam Puteri UMNO. Tugas saya adalah untuk melahirkan lebih ramai lagi ahli. Kita tidak mahu Puteri UMNO terkubur saat usianya 20 atau 25 tahun, tetapi kekal relevan sepanjang zaman.

Puteri UMNO adalah anak bongsu UMNO. Adakah masih ada yang melabel Puteri UMNO sebagai manja?

Gelaran manja itu sendiri sudah tidak sesuai dengan Puteri UMNO. Melihat kepada usia ahli kami (18 hingga 35 tahun), saya lebih suka masyarakat melihat Puteri sebagai sayap yang boleh diharap untuk membuat kerja dan setia kepada parti serta boleh memainkan peranannya sendiri.

Puteri-Puteri UMNO apabila diberikan tugasan, mereka melaksanakan tugas dengan baik. Tidak pernah memberi alasan tidak. ‘Anak manja’ biasanya kita dengar mereka ini tidak boleh buat kerja bila disuruh. Banyak sangat alasannya. Tapi tidak pada Puteri UMNO. Bila disuruh masuk kampung, masuk hutan dan hantarlah ke ceruk mana pun mereka tidak pernah mengecewakan.

Istilah manja itu sendiri tidak ada dalam kamus Puteri UMNO. Kami semakin matang.

Apakah agenda terbaharu yang menjadi fokus Puteri UMNO ketika ini?

Terbaru Puteri UMNO bersama Persatuan Kembara Negara, akan lancarkan kempen Srikandi Prihatin, yang mana kita memberi peluang kepada ahli-ahli Puteri untuk terlibat dengan sukan lasak.

Insya-ALLAH bersempena dengan sambutan kemerdekaan negara yang ke-60 tahun, Ogos ini, mereka akan mengembara dan mendaki Gunung Everest. Ini adalah kembara srikandi, semuanya wanita. Saya kira ia satu tugas yang mencabar.

Apabila dibuka tawaran, ramai ahli Puteri (yang bukan memegang jawatan) berminat. Mereka memperlihatkan semangat luar biasa, berani sahut cabaran.
Pemilihan akan dibuat dan saya akan umumkan pada hari pelancarannya nanti.

Selain itu, kami juga mengadakan larian amal pada 30 Julai ini di Padang Merbok, Kuala Lumpur. Ini adalah kempen kesedaran untuk orang awam tentang isu keselamatan dan seksual kanak-kanak yang berlaku pada hari ini.

Walaupun jumlah kesnya tidak besar, tetapi kita tidak boleh nafikan ia satu ancaman yang perlu di ambil peduli.

Pada Ramadan lalu, kita menggerakkan skuad Puteri Peduli bagi menyampaikan sumbangan berbentuk barang keperluan harian kepada golongan kurang berkemampuan seperti ibu tunggal, anak-anak yatim, keluarga miskin dan orang kurang upaya.

Dalam program ini sebanyak 20,000 kek diagihkan ke seluruh negara yang dilancarkan Menteri Kewangan II, Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

Bagaimana dengan perekrutan ahli Puteri? Setakat hari ini, berapa ramai ahli dan sasaran tambah bilangan Puteri UMNO?

Setakat 31 Mei 2017, kita mempunyai seramai 385, 044. Untuk menarik lebih ramai anak muda, kami sasarkan mereka yang berumur antara 18 hingga 25 tahun yang kita gelarkan Adinda. Pendekatannya berbeza, kerana itu saya memberi kebebasan kepada mereka untuk melaksanakan aktiviti bersesuaian dengan minat mereka.

Program Bestanita yang dilaksanakan baru-baru menunjukkan komitmen yang tinggi daripada Adinda.

Selain itu, Puteri sentiasa melaksanakan kempen menambah ahli melalui Operasi Daftar pemilih, #OpsDP. Tanggungjawab ini digalas oleh Naib Ketua Puteri UMNO, Datuk Zahida Zarik Khan. Beliau melaksanakan gerak kerja cukup baik dengan turun padang menjelajah ke setiap negeri.

Namun, tidak dinafikan, Puteri kehilangan ahlinya setiap hari. Apabila usia menjangkau 36 tahun, mereka bukan lagi Puteri UMNO, secara automatiknya menjadi anggota Wanita UMNO.

Inilah cabaran kami. Saya yakin dengan usaha keras, keahlian Puteri akan semakin bertambah.

Pembangkang tidak kalah hebatnya dengan pemimpin muda mereka yang lantang dan lebih ke depan. Adakah persaingan ini beri tekanan kepada pemimpin Puteri UMNO, khususnya mendepani isu-isu tertentu?

Saya melihat ia sebagai satu persaingan yang sihat dan positif untuk negara. Berbanding 20 tahun dahulu, bukan sahaja wanita tetapi golongan muda itu sendiri kurang celik politik atau peduli dengan apa yang berlaku di persekitarannya.

Tetapi, hari ini, wanita lebih cakna dan ambil tahu tentang isu terkini. Ia satu persaingan yang sihat dan secara tidak langsung, akan ada lebih ramai wanita dalam bidang politik, di Parlimen atau sebagai Adun di negara ini. Tidak kiralah sama ada dalam BN atau pembangkang.

Saya harapkan lebih ramai lagi wanita ke depan yang mampu membicarakan bukan sahaja soal wanita, tetapi merangkumi pelbagai bidang seperti ekonomi, sains dan teknologi.

Bahang PRU14 semakin terasa, bagaimana persiapan Puteri UMNO khususnya bagi mendekati golongan muda di akar umbi.

Sejak awal tahun lagi, jentera Puteri sudah bergerak bertemu rakyat di setiap negeri, dan kita baru sahaja selesai fasa pertama. Fasa kedua nanti , saya sendiri akan turun padang melihat semua persiapan dan hasil kerja yang  diamanahkan kepada mereka.

Objektif penubuhan Puteri, sejak awal penubuhannya, kita memberikan tumpuan untuk menarik lebih ramai pengundi wanita muda. Selain itu kita turut terlibat membantu Wanita UMNO dalam JR Plus.

Bagaimana Datuk melihat momentum golongan muda sekarang. Adakah memihak BN atau atau sebaliknya?

Di bawah Unit Khas Pilihan Raya (UKP) kita mempunyai pasukan yang khusus untuk memberikan ceramah kepada rakyat.

Kita perlu tahu minat dan kecenderungan mereka. Itu yang kita buat. Jika mereka minat sukan lasak. Kita dekati mereka dengan aktiviti yang lebih sihat seperti larian dan rekreasi. Dan sambutannya amat memberangsangkan. Bila kita tahu minat mereka mudahlah mendekati mereka.

Rata-rata golongan muda ini apabila sebut sahaja Puteri UMNO, Wanita UMNO atau UMNO, mereka akan ingat kita ini berpolitik 24 jam sahaja. Tetapi sebenarnya tidak. Puteri ada banyak program. Bila mereka serta Puteri, secara automatik pandangan serta tanggapan mereka terhadap Puteri berubah.

Adakah Puteri harapkan lebih ramai wakil daripada sayap ini jadi calon PRU14 nanti?

Harapan saya akan ada lebih ramai calon dari kalangan Puteri UMNO pada PRU akan datang. Sebelum ini, seramai sembilan calon bertanding dalam pilihan raya. Untuk PRU akan datang, kalau dapat 15 orang pun sudah cukup baik. Apabila ramai jadi calon ia juga menyumbang kepada calon wakil rakyat daripada kalangan wanita. Bukan hanya dari BN tetapi keseluruhannya.

Bagaimana Puteri memastikan ahli kekal dan tidak berpaling arah kepada parti lain?

Kita perlu tahu apa matlamat asal, mengapa kita menyertai sesebuah parti politik itu. Saya sebagai contoh. Masuk Puteri, niatnya untuk mencari kawan dan buat aktiviti, bukan sebab mahukan jawatan.

Sebagai ahli Puteri, kita akan diterangkan bagaimana Puteri dapat membantu parti, bantu presiden supaya dapat sama-sama berjuang demi agama, bangsa dan negara.

Perkara asas inilah yang membantu perjuangan saya pada hari ini. Kalau tidak saya sendiri tiada hala tuju. Tanya balik pada diri sendiri. Mengapa kita sertai Umno, kenapa perlu buat itu, buat ini dan kalau bukan kita yang buat, siapa lagi. Kena ada perasaan begitu. Jadi perasaan sayang dan cintakan parti akan terus melahirkan kesetiaan kepada parti.

Kita tahu mereka yang meninggalkan parti ini kerana mungkin telah hilang rasa cinta atau kecewa tidak mendapat sesuatu, itu lebih besar dan tidak dapat mengatasi rasa cinta itu.

Lihat apa yang berlaku pada PKR. (Penubuhan) kerana kecewa dengan pentadbiran perdana menteri yang dahulu. Tapi hari ini mereka bersama kembali.
Jadi untuk apa lagi parti itu (PKR) diwujudkan. Sepatutnya mereka teruskan perjuangan berdasarkan ideologi dan asas penubuhan untuk kekal relevan sepanjang zaman.

Pandangan Datuk berkenaan isu semasa yang melanda negara ketika ini terutama dikaitkan dengan pemimpin tertinggi BN-Umno. Adakah ia menjejaskan kepercayaan terhadap pemimpin parti?

Apabila pelbagai isu dimainkan pembangkang, saya lihat mereka, sebenarnya cuba mengalihkan perhatian rakyat terhadap isu-isu yang berlaku dalam parti. Ini termasuk isu RCI Forex, ditakuti akan terbongkarnya perkara sebenar.

Niat mereka, adalah untuk menjatuhkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak. Jadi mereka akan lakukan apa saja cara walaupun terpaksa menggunakan pengaruh daripada negara luar untuk campur tangan dalam isu negara kita.

Mereka sepatutnya ada sifat tanggungjawab dan sayang kepada negara. Apa pun yang berlaku, kepimpinan Najib tidak akan goyah. Malah Umno dan BN akan kekal utuh dan kukuh dalam apa juga serangan kepada parti dan kepimpinan.

Pelan TN50 yang diperkenalkan kerajaan. Bagaimana ia boleh membawa impak kepada golongan belia wanita?

TN50 dilaksanakan tepat pada masanya, memandangkan Wawasan 2020 akan berakhir beberapa tahun sahaja lagi. Pada awal pengenalan TN50, ramai yang tidak mengetahui mengenainya. Maksudnya mereka tidak benar-benar memahami apakah aspirasi yang ingin dibawa TN50.

Tetapi melalui siri-siri taklimat dan program TN50 yang diperkenalkan, ia banyak membantu khususnya anak-anak muda Malaysia, memahami apakah TN50.

Walaupun masih ada 32 tahun, kita harus bersedia dari sekarang. Bagaimana kita hendak bersiap sedia dari segi keluarga, pekerja, kesihatan, alam sekitar? Adakah  pekerjaan pada masa depan akan digantikan dengan robotik?

Belum sampai tahun 2020, kita sendiri tidak pernah terfikir boleh tempah teksi, kereta sampai. Apa sahaja kita mahu, semua benda boleh sampai depan rumah, dengan menggunakan telefon bimbit sahaja.  

Dulu kita tidak pernah terfikir, tetapi ia berlaku hari ini. TN50 adalah persiapan  untuk anak muda supaya mereka boleh kongsi apa juga harapan untuk melihat Malaysia pada 2050.

Sebagaimana diperkatakan Najib, era kerajaan tahu segalanya sudah berakhir. Hari ini, kita yang memberikan aspirasi kepada kerajaan supaya mereka melaksanakan apa juga dasar atau perancangan demi masa depan negara.

Kedatangan Revolusi Industri 4.0 mempunyai banyak kelebihan namun, ramai juga yang gusar mengenai peluang kerja yang semakin sikit.

Kedatangan Revolusi Industri 4.0 iaitu iaitu sistem fizikal cyber seperti aplikasi maya dalam urusan kehidupan harian, sedikit sebanyak telah mengubah corak penggunaan tenaga kerja pada hari ini.

Tengok sahaja apabila uber diperkenalkan, ramai dalam kalangan pemandu teksi kita tidak gembira, tetapi teknologi akan terus berlalu (jika diabaikan). Kerana itu kita perlu seiring dengan teknologi, perlu sentiasa mengikut perkembangan semasa. Jika tidak, kita akan terus ketinggalan dan kekal di takuk lama.

Bagi mengelak kita terasa terancam dengan kewujudan peluang pekerjaan baru yang menggunakan revolusi industri ini, kita perlu menyiapkan diri dengan kemahiran vokasional agar kemampuan tenaga kerja dapat ditingkatkan seiring dengan perubahan teknologi baharu.

Seorang pekerja harus ada nilai tambah seperti kemahiran tertentu. Inilah cabaran rakyat Malaysia.

Selain itu, nilai-nilai moral perlu ada dalam diri setiap individu. Kita tidak mahu jadi jadi hamba teknologi dan pupusnya budaya, rasa hormat serta kasih sayang.
Pendidikan agama perlu ditekankan kepada golongan muda. Bila perkara asas ini ada, walau betapa hebatnya industri itu berlaku, kita masih dapat kekalkan budaya pada hari ini.
-SINAR HARIAN-

Popular posts from this blog

3 Lagenda Malaysia Gegarkan Paralimpik Rio 2016

CERGASKAN DIRIMU DI HARI SUKAN NEGARA 2016