Bajet 2018 : Penekanan Harus Turut Diberikan Kepada Pasangan Keluarga Muda – Fahariyah

KUALA LUMPUR, 24 Okt – Tarikh 27 Oktober ini pasti dinantikan ramai pihak kerana ingin mendengar sendiri apakah yang bakal dibentangkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam ucapan Bajet 2018.
Ahli Dewan Negara, Senator Datuk Fahariyah Md Nordin berkata, seperti tahun-tahun sebelumnya, bajet kali ini juga pasti bakal memberi berita gembira buat seluruh rakyat kerana belum pernah lagi pembentangan bajet tanpa ada berita gembira.

“Namun sebagai golongan muda, saya amat berharap agar bajet kali ini turut diberi penekanan kepada kebajikan pasangan keluarga muda kerana golongan ini baru mahu memulakan hidup. Oleh itu saya amat berharap agar isu rumah pertama akan diberi perhatian kerana syarat untuk memiliki rumah terlalu ketat termasuklah pinjaman bank.
“Isu rumah pertama ini sebenarnya bukan isu baru malah saya tidak nafikan kerajaan telah melakukan pelbagai cara bagi mengatasi masalah ini. Cuma apa yang saya nampak, pasangan muda menghadapi kekangan apabila berhadapan dengan syarat yang terlalu ketat dan juga tidak layak untuk membuat pinjaman bank.
“Akhirnya mereka terpaksa menyewa rumah yang kini harganya amat tinggi. Sekiranya golongan ini diberi insentif, bantuan khas atau potongan cukai untuk sekurang-kurangnya memiliki rumah pertama dalam kategori rumah kos sederhana atau mampu milik sudah pasti ini akan banyak membantu,” ujarnya kepada UMNO-Online.
Selain isu rumah tambah Fahariyah, beberapa isu lain lain berkaitan keluarga muda harus diberikan penekanan seperti masalah pengurusan waktu terutamanya bagi mereka yang bekerja bukan diwaktu pejabat.
“Bila sudah mempunyai anak, pasti akan timbul lebih masalah, oleh itu amatlah baik sekiranya pihak kerajaan dapat menambah insentif dan perlaksanaan yang lebih berkesan dalam memastikan lebih ramai majikan menyediakan pusat asuhan kanak-kanak.
“Selain itu, saya juga mencadangkan agar kerajaan menyediakan subsidi kos yuran pusat penjagaan anak bagi golongan berpendapatan rendah yang tinggal di kawasan bandar memandangkan yuran di taska dan pusat asuhan semakin melambung tinggi.
“Kerajaan juga boleh menggesa pihak majikan untuk melaksanakan dasar waktu bekerja anjal dan bekerja dari rumah kerana ini dapat membentuk pembangunan kanak-kanak yang lebih baik selain mengelak gejala sosial,” katanya lagi.
Bagi pendidikan dan pembangunan kanak-kanak pula beliau menyarankan agar kerajaan memperbanyakkan tadika kemas di kawasan bandar serta menambah peruntukan untuk membaikpulih infrastruktur tadika kemas yang sediada.
Bagi mengurangkan kos sara hidup pula Fahariyah mencadangkan agar kerajaan meningkatkan cukai perlepasan untuk ibubapa yang berpendapatan dari RM1500 ke RM3000.
“Selain itu, saya turut mencadangkan agar mengasingkan dan meningkatkan pelepasan cukai bagi KWSP dan insurans nyawa, mengecualikan cukai GST bagi barangan keperluan bulanan seperti tuala wanita, lampin pakai buang bayi serta warga emas.
“Sudah pasti pelepasan ini akan memberikan khabar yang lebih gembira kepada masyarakat kerana ia bukan tertakluk hanya kepada kakitangan kerajaan sahaja,” jelasnya lagi. – MediaUMNO

Popular posts from this blog

3 Lagenda Malaysia Gegarkan Paralimpik Rio 2016

CERGASKAN DIRIMU DI HARI SUKAN NEGARA 2016