Skuad Puteri Peduli Bantu Mangsa Banjir


KUALA LUMPUR: Sekumpulan 50 sukarelawan Skuad Puteri Peduli Pergerakan Puteri Umno menyertai misi bantuan banjir ke Pulau Pinang dan Kedah, hari ini.

Konvoi yang diketuai Ketua Pergerakan Puteri Umno, Datuk Wira Mas Ermieyati Samsudin, akan disertai 600 sukarelawan pergerakan itu di Pulau Pinang untuk misi selama dua hari berkenaan.
Mas Ermieyati berkata, pihaknya mendapat kerjasama dengan Yayasan Pelajaran Mara (YPM) bagi menghantar bantuan kepada mangsa yang terjejas di tiga pusat pemindahan di Pulau Pinang dan Kedah.
"Bantuan ini akan disalurkan kepada mangsa dipusat pemindahan banjir Desa Puri di Tasek Gelugor dan Taman Haji Mohd Amin di Permatang Pauh sebelum kita akan bergerak ke Merbok di Kedah.
"Kumpulan sukarelawan ini akan bergotong royong memasak dan menyediakan makanan kepada mangsa di pusat pemindahan terbabit selain membantu memastikan keperluan mangsa yang terjejas akibat banjir berkenaan," katanya kepada pemberita di majlis pelepasan Konvoi Skuad Puteri Peduli di perkarangan Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini, hari ini.
Yang turut hadir ialah Pengerusi Biro Kebajikan dan Sukarelawan Pergerakan Puteri UMNO, Nor Farhana Alham.
Konvoi membabitkan 12 pacuan empat roda itu membawa barangan keperluan hasil sumbangan orang ramai seperti makanan, lampin pakai buang bayi, bahan kering masakan, peralatan alat tulis dan beg sekolah.
Mas Ermieyati berkata, pergerakan itu sentiasa bersedia untuk memberikan bantuan kemanusiaan kepada mangsa banjir di seluruh negara termasuk menghadapi gelombang kedua bencana berkenaan.
"Ini adalah permulaan bagi misi bantuan kami kerana kita akan adakan beberapa siri konvoi yang sama mengikut keperluan dari masa ke semasa.
"Walaupun kami tidak dapat menyediakan barangan keperluan yang banyak tetapi sukarelawan Skuad Puteri Peduli sentiasa bersedia untuk menghulurkan sumbangan tenaga," katanya.
Beliau berkata, bantuan yang dihulurkan juga tidak mengambil kira fahaman politik tetapi dilaksanakan atas dasar kemanusiaan dan kepentingan seluruh rakyat.
Ahad lalu, Pulau Pinang dilaporkan lumpuh selepas hampir keseluruhan kawasan di negeri ini dilanda banjir setinggi antara tiga hingga 3.6 meter, berikutan hujan lebat serta ribut yang melanda sejak Sabtu.
Sumber : BH

Popular posts from this blog

CERGASKAN DIRIMU DI HARI SUKAN NEGARA 2016

3 Lagenda Malaysia Gegarkan Paralimpik Rio 2016