KENYATAAN MEDIA BIRO KESIHATAN PERGERAKAN PUTERI UMNO MALAYSIA

Image result for pergerakan pputeri umno malaysia
1. Pergerakan Puteri Umno Malaysia melalui Biro Kesihatan meraikan sambutan Hari Kesedaran Mental Sedunia 2016 yang disambut di seluruh dunia pada 10 Oktober ini yang bertemakan "Psychological first aid"  yang mengetengahkan kemahiran yang seharusnya dimiliki oleh setiap orang untuk membantu mangsa atau orang sekeliling dalam aspek psikologi di saat saat kecemasan atau trauma. 

2. Kemahiran ini adalah berasaskan prinsip 3M iaitu melihat, mendengar dan menghubungkan (3L- look,listen&link) . Dalam situasi ditimpa bencana alam seperti banjir besar, kita seharusnya dapat melihat untuk memeriksa keselamatan keadaan sekeliling , mengenalpasti mangsa yang memerlukan bantuan kecemasan serta mangsa yang berada dalam keadaan yang amat tertekan. Untuk prinsip mendengar, kita perlu mendekati dan membantu mangsa yang memerlukan sokongan dengan mendengar dan cuba menenangkan mereka. selain itu juga, kita boleh menajdi agen untuk memberi maklumat dan menghubungkan mereka dengan badan-badan yang berkaitan untuk bantuan asas dan pratikal seperti bantuan makanan serta meyatukan semula mereka dengan kaum keluarga yang lain.

3. Selain daripada itu,  seperti yang telah diumumkan oleh Menteri Kesihatan YB Dato Seri Dr S Subramaniam,  Merujuk pada data Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan yang dilaksanakan pada tahun lalu, kira-kira 30 peratus atau 4.2 juta rakyat Malaysia berusia 16 tahun ke atas mengalamai masalah kesihatan mental. Ini bermaksud satu dari tiga rakyat Malaysia mengalami isu berkait masalah mental.  Keadaan ini amat membimbangkan dan pastinya wajar mendapat perhatian khusus daripada semua pihak. 

4. Individu yang mempunyai masalah kesihatan mental, berhadapan dengan stigma dan didiskriminasikan.  Antara contoh adalah untuk mereka mendapatkan peluang pekerjaan.   Masih ramai lagi majikan yang tidak memahami keperluan serta tidak mahu menerima mereka yang menghidap penyakit mental ini.   Malahan jumlah pakar Psikiatri di negara ini masih belum mencukupi meskipun usaha kerajaan untuk menambahkan lagi jumlah tersebut sepatutnya dihargai. 

5. Disebabkan  stigma yang berterusan terhadap penyakit mental, cara dan layanan terhadap individu yang mempunyai masalah kesihatan mental masih merupakan satu cabaran yang perlu diatasi. Pergerakan Puteri UMNO Malaysia mencadangkan agar penggunaan bahasa negatif untuk menggambarkan penyakit mental  seperti “psiko” atau “terencat” serta "gila" perlu dielakkan kerana ia boleh menimbulkan rasa takut serta seolah-olah satu penghinaan  terhadap individu yang mempunyai penyakit mental serta keluarga mereka.

6. Kecelaruan mental yang mendorong kepada keganasan seperti kejadian 'amok'  yang berlaku baru-baru ini adalah satu tragedi yang  tidak boleh diabaikan atau ditutup sebelah mata.  Banyak kejadian yang tidak diingini seperti ini juga adakalanya dikusutkan lagi dengan masalah penggunaan dadah yang semakin berleluasa pada masa kini. Namun harus diingatkan,  lebih penting lagi adalah untuk kita menyampaikan maklumat dan fakta yang boleh memberi pemahaman masyarakat tentang masalah sakit mental supaya kita sama-sama boleh membantu pesakit dan diri kita sendiri mendapatkan kesihatan mental yang optimum.  Sisi positif pesakit dan keluarga yang gigih berjuang mengatasi masalah kesihatan mereka juga harus dicanang supaya boleh dijadikan semangat dan iktibar. 

7. Impak masalah kesihatan mental terhadap pesakit, keluarga serta masyarakat keseluruhannya adalah besar. Dalam keadaan ekonomi dan sosial yang sukar dan mencabar ini,  adalah tanggungjawab bersama untuk memastikan kesihatan dan kelangsungan hidup terpelihara melalui langkah-langkah yang memelihara kesihatan mental yang baik.   Ini pastinya dapat dicapai  melalui penekanan kepada sokongan sosial yang optimum. 

8. Kita perlu mendapatkan pendedahan awal mengenai gejala-gejala masalah kesihatan mental dan sekaligus mengambil langkah-langkah pencegahan awal bagi mengelak lebih banyak kes yang tidak diingini terhadap pesakit mahupun masyarakat sekeliling contohnya  kejadian amuk,  mencederakan dan membunuh diri. 

9. Penyakit mental hanyalah satu bahagian dalam kesihatan mental secara keseluruhannya. Kita harus memupuk kesihatan mental yang sihat dengan mempunyai kemahiran yang bagus dalam menghadapi pelbagai cabaran hidup dan mempunyai sikap positif terhadap diri sendiri dan keadaan sekeliling. 

10. Pergerakan Puteri UMNO Malaysia juga menghargai pekerja-pekerja dalam bidang kesihatan mental yang telah berhempas pulas melakukan yang terbaik untuk pesakit-pesakit dan meningkatkan kesedaran dalam penjagaan kesihatan mental.



-TAMAT

DR NUR FAIZAH ALI
PENGERUSI BIRO KESIHATAN
PERGERAKAN PUTERI UMNO MALAYSIA.

Popular posts from this blog

3 Lagenda Malaysia Gegarkan Paralimpik Rio 2016

CERGASKAN DIRIMU DI HARI SUKAN NEGARA 2016