Malaysia dan Arab Saudi Perkukuhkan Hubungan Persaudaraan

KUALA LUMPUR, 26 FEB 2017: Hari ini dalam sejarah, Malaysia menerima kunjungan rasmi kali pertama Raja Salman Abdul Aziz Al-Sa'ud, Raja Arab Saudi selama empat hari juga merupakan lawatan sulungnya ke negara Asia Tenggara sejak menaiki takhta pada 23 Jan 2015 lalu dan selamat tiba pada jam 11.50 pagi tadi.

Raja Salman tiba untuk lawatan negara
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengiringi Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz Al-Sa'ud setibanya di Kompleks Bunga Raya hari ini. -gambar bernama

Ketibaan baginda di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) disambut Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, yang juga menteri pengiring.

Baginda akan diiringi delegasi 600 anggota dalam lawatan hingga 1 Mac ini termasuk anggota kerabat diraja dan menteri Kabinet Arab Saudi sekaligus lebih dari 100 buah kenderaan disediakan bagi membawa anggota rombongan diraja itu.

Kali terakhir Raja Arab Saudi melakukan lawatan ke Malaysia ialah pada 2006 iaitu oleh Almarhum Raja Abdullah Abdulaziz Al-Sa'ud. Almarhum Raja Faisal Abdulaziz Al-Sa'ud melawat Malaysia pada 1970.

Kunjungan sulung Raja Salman ke Malaysia itu adalah atas undangan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V.

Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V menyambut ketibaan Raja Salman di Dataran Parlimen hari ini. Turut hadir Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, Timbalannya Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi serta menteri-menteri Kabinet.

Upacara sambutan dimulakan dengat persembahan lagu kebangsaan kedua-dua negara oleh Pancaragam Pusat Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) dari Kem Sungai Besi disusuli dengan tembakan meriam sebanyak 21 das.

Kunjungan rasmi ini akan membuka peluang baharu kepada komuniti perniagaan Malaysia, khusunya dalam bidang pelaburan berimpak tinggi dan sektor halal.

Presiden Dewan Perdagangan Arab-Malaysia, Mohamed Fauzy Abdul Hamid berkata, kerajaan Arab Saudi juga dijangka mengumumkan beberapa kelonggaran bagi rakyat Malaysia yang ingin memulakan perniagaan di negara itu, khusunya di Makkah.

Manakala, Ketua Misi Kebudayaan di Kedutaan Diraja Arab Saudi di sini, Dr Zayed Al-Harithi berkata lawatan oleh Penjaga Dua Masjid Suci itu mencerminkan hasrat baginda untuk meningkatkan hubungan kukuh yang sedia terjalin dengan Malaysia.

"Kita sekarang menaruh harapan untuk mengukuhkan lagi hubungan antara kedua-dua negara terutama dalam bidang pendidikan dan penyelidikan saintifik," kata beliau ketika berucap pada majlis suai kenal media Arab Saudi dan Malaysia.

Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib Razak berkata, Lawatan Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz Al-Sa'ud ke Malaysia ini mengukuhkan lagi perkongsian dan hubungan persaudaraan yang dijalinkan kedua-dua negara berdasarkan rasa saling percaya dan menghormati satu sama lain.

Beliau berkata ini boleh menjadi teladan bagi dunia Islam dan yang lain dalam memanfaatkan rakyat dan rantau terbabit serta dunia.

Popular posts from this blog

3 Lagenda Malaysia Gegarkan Paralimpik Rio 2016

CERGASKAN DIRIMU DI HARI SUKAN NEGARA 2016