Puteri Sedia Senarai Calon PRU14 Setiap Negeri - Mas Ermieyati

Image may contain: 1 person, sitting

KUALA LUMPUR: Ketua Pergerakan Puteri UMNO Malaysia, YB Datuk Hjh Mas Ermieyati Samsudin berkata Pergerakan Puteri UMNO sudah mempunyai senarai calon bagi setiap negeri untuk bertanding sekiranya Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) diadakan dalam masa terdekat.

Beliau berkata senarai itu akan diberi kepada pengerusi perhubungan UMNO di seluruh negeri sebelum diputuskan oleh pucuk pimpinan tertinggi parti.

"Dahulu (PRU13) kita ada sembilan calon Puteri yang mendapat tempat sebagai Anggota Parlimen dan Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN). Jadi kita harapkan jumlah itu akan bertambah untuk PRU14.

"Ini kerana kewujudan dan sumbangan golongan wanita muda dalam UMNO memang tidak dapat disangkal lagi. Jadi kita harapkan penghargaan kepada golongan wanita muda oleh pucuk pimpinan (UMNO) dapat diterjemahkan melalui pemilihan lebih banyak wanita muda sebagai calon PRU14," katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas majlis pelancaran Skuad Puteri Peduli Pergerakan Puteri UMNO Malaysia yang disempurnakan oleh Anggota Parlimen Titiwangsa yang juga Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Johari Abdul Ghani, di sini pada Ahad.

Mas Ermieyati berkata lima daripada sembilan wakil Puteri UMNO yang memenangi PRU13, kini telah beralih ke Pergerakan Wanita UMNO atas faktor usia.

Pada Perhimpunan Agung UMNO 2016, Pergerakan Pemuda dan Puteri bersepakat mengusulkan formula 30 peratus calon muda, selain Puteri bersetuju dengan sasaran Pergerakan Wanita untuk meletakkan 30 peratus calon wanita pada PRU14.

Sementara itu, Mas Ermieyati berkata Skuad Puteri Peduli merupakan satu usaha pergerakan itu memenangi hati masyarakat dan mengekalkan kemenangan Barisan Nasional (BN) dalam PRU14.

Skuad mempunyai tiga komponen iaitu Ziarah Puteri Peduli, S.A.F.E dan Gerak Kerja Berfokus bagi memastikan tugas membantu rakyat dilaksanakan dengan lebih tersusun dan strategik.

Untuk permulaan gerak kerja Skuad Puteri Peduli, sebanyak 20,000 kit bantuan makanan bersempena Ramadhan akan diedarkan di seluruh negara secara serentak bermula 3 Jun ini.

Sementara itu, Johari berkata BN meletakkan sasaran untuk memenangi lebih separuh daripada 13 kerusi Parlimen di Wilayah Persekutuan.

"Maklumat secara terperinci saya tidak boleh kongsikan lagi tetapi itu sasaran BN bagi Wilayah Persekutuan," katanya sambil melahirkan keyakinan mencapai sasaran itu berdasarkan prestasi BN membantu rakyat yang kini bertambah baik.

UMNO yang menjadi tunjang utama BN, menguasai empat kerusi Parlimen di Wilayah Persekutuan iaitu Setiawangsa, Titiwangsa, Putrajaya dan Labuan. -BERNAMA

Popular posts from this blog

3 Lagenda Malaysia Gegarkan Paralimpik Rio 2016

CERGASKAN DIRIMU DI HARI SUKAN NEGARA 2016