Tsunami Merah Membanjiri Stadium Nasional Bukit Jalil



KUALA LUMPUR: Pada tanggal 11 Mei 2017 bersamaan pada hari Khamis, 'tsunami merah' membanjiri Stadium Nasional Bukit Jalil dengan kehadiran lebih 100,000 anggota UMNO dengan pakaian serba merah dalam perhimpunan raksasa bersempena ulang tahun ke-71 UMNO malam tadi. Dilaporkan juga semua pemimpin-pemimpin UMNO dari semua sayap juga semua perwakilan hadir dalam majlis ini.

Karnival yang dilangsungkan selama 2 hari berturut-turut ini dimeriahkan dengan kehadiran para tetamu yang mula memasuki kawasan stadium secara berperingkat sejak jam 2 petang walaupun acara hanya akan bermula jam 8 malam pada hari ke-2 iaitu semalam. 

Suasana pesta turut dirasai di stadium dan kawasan sekitarnya dengan pelbagai gerai menawarkan jualan makanan dan cenderamata UMNO, antaranya kemeja-T dan mafla. Malahan juga terdapat tapak gerai dari Pemuda UMNO, Puteri UMNO, Wanita UMNO, UiTM, dan bermacam lagi.

Ulang tahun UMNO yang bertemakan "Tujuh Dekad Memperjuang Bangsa" ini menjadi yang terbesar pernah diadakan dalam sejarah UMNO dengan jangkaan penyertaan lebih 140,000 anggotanya dari seluruh negara.

Ratusan bas yang membawa anggota UMNO juga kelihatan memasuki kawasan stadium dan lalu lintas menjadi sesak dengan penyertaan orang awam yang memilih menaiki kenderaan sendiri. Malah juga pihak LRT turut melanjutkan pergerakan laluan sehingga jam 2.30 pagi sempena karnival ini.

Pengunjung awal turut dihiburkan dengan persembahan artis terkenal seperti Misha Omar, Datuk Jamal Abdillah, Wany Hasrita dan Usop Mentor Melinia.

Acara sambutan ini dimulai pada 6.45 petang dengan ceramah agama disusuli solat Maghrib berjemaah.

Para anggota parti dan orang awam dari seluruh pelosok tanah air berkumpul pada malam tadi untuk bersama-sama Perdana Menteri merangkap Presiden UMNO Datuk Seri Najib Tun Razak bagi memperingati penubuhan UMNO, yang sejak lebih tujuh dekad mempertahan dan membangunkan bangsa.

Datuk Seri Najib Tun Razak menyifatkan UMNO merupakan parti paling kuat di negara ini malah paling berjaya dalam demokrasi dunia.

Jelasnya, keunggulan parti Melayu yang terbentuk sejak 71 tahun lalu itu dibentuk atas empat faktor.

"Pertamanya kita tidak pernah meninggalkan asas perjuangan parti iaitu berpaksikan Islam, Melayu Bumiputera dan negara Malaysia.

"Kedua, kita meletakkan perjuangan parti untuk kepentingan seluruh rakyat dari dahulu hingga sekarang. Kita berjuang bukan untuk ahli bahkan semua rakyat tanpa mengira latar belakang.

"Ketiga, kita sentiasa relevan mengikut peredaran zaman dan keempat, kita mempunyai wawasan serta tindakan yang kolektif bersama komponen Barisan Nasional," katanya ketika berucap pada kemuncak majlis tersebut.

Malah, beliau turut menyampaikan Anugerah Tokoh Melayu Terbilang kepada Tan Sri Hanafiah Hussain, Tan Sri Mohd Yussof Abdul Latif dan Tan Sri Napsiah Omar.

Selain ucapan Presiden UMNO, acara lain yang dijadualkan pada malam ini adalah penyampaian hadiah Karnival Sukan dan pertandingan esei kreatif serta video pendek bersempena sambutan ulang tahun UMNO ke-71 itu serta penyampaian hadiah kepada pemenang-pemenang dalam pelbagai jenis sukan yang diadakan pada hari sebelumnya sempena Hari Sukan UMNO.

Turut menarik perhatian adalah cabutan bertuah yang menawarkan pelbagai hadiah bernilai sehingga RM1 juta, disediakan untuk anggota UMNO yang bertuah.

SUMBER : BERNAMA

Popular posts from this blog

3 Lagenda Malaysia Gegarkan Paralimpik Rio 2016

Ulangtahun Ke-15 Tahun Pergerakan Puteri UMNO Malaysia