Gerak Gempur Menuju PRU - Persidangan Puteri UMNO Bahagian


BAGAN DATUK : Persidangan Pergerakan Puteri UMNO Bahagian di seluruh Malaysia sudah bermula sejak semalam lagi. Walau masih dalam bulan Syawal, tidak menjadi titik sebab untuk Pergerakan Puteri UMNO Malaysia tidak bergerak dalam melakukan program-program seumpamanya, malah ianya menaikkan lagi semangat perjuangan barisan Puteri-Puteri UMNO untuk hadir.

Persidangan Puteri UMNO Bahagian ini telah dimulakan oleh Bahagian Bagan Datuk di Perak sekaligus merupakan persidangan pertama yang telah dirasmikan oleh Ketua Pergerakan Puteri UMNO Malaysia, YB Datuk Hjh Mas Ermieyati Samsudin setelah mendapat jemputan dari Ketua Puteri UMNO Bagan Datuk.

Pada persidangan tersebut, YB Mas Ermieyati mengimbau kembali kenangan dan sejarah parti UMNO yang ditubuhkan pada tahun 1946 dulu bagi melawan Malayan Union ciptaan Penjajah British ketika itu.

"Kebijaksanaan pemimpin kita telah meletakkan UMNO sebagai parti yang paling dihormati, paling kredibel, paling mendapat penerimaan dalam sistem politik dan sistem demokrasi di negara kita terutama sekali dalam memperjuangkan nasib bangsa kita juga kaum-kaum lain" katanya.

Malah beliau turut mengajak barisan Puteri UMNO Bahagian Bagan Datuk mempertingkatkan lagi keyakinan orang muda untuk bersama UMNO, lebih-lebih lagi pada hari ini orang muda dimomokkan dengan fitnah dan hasutan dari puak pembangkang terhadap UMNO. 

YB Mas Ermieyati juga membangkitkan soal sokongan orang Melayu kepada UMNO adalah kerana keputusan PRU13 yang lalu telah menunjukkan bahawa ada tanda-tanda orang Melayu khususnya generasi muda telah hilang percaya kepada parti UMNO dan beliau mengajak barisan puteri untuk mengkaji semula kelemahan serta mencari jalan penyelesaian untuk memperbaiki kelemahan tersebut.

"Persidangan Puteri pada tahun ini juga amat penting kerana kita bakal menghadapi PRU-14 yang akan berlaku pada bila-bila masa sahaja lagi dan kita di barisan Puteri UMNO Malaysia juga merupakan pelengkap dalam parti yang membuatkan UMNO dilihat sebagai sebuah parti yang gagah serta mempunyai jentera yang kukuh" kata Ketua Pergerakan Puteri UMNO Malaysia dalam meningkatkan lagi semangat barisan puteri beliau.

Turut hadir juga beberapa EXCO Pergerakan Puteri UMNO Malaysia ke persidangan tersebut.

Popular posts from this blog

CERGASKAN DIRIMU DI HARI SUKAN NEGARA 2016

3 Lagenda Malaysia Gegarkan Paralimpik Rio 2016