Perutusan Hari Kebangsaan 2017 - Mas Ermieyati Samsudin


Salam Negaraku, Sehati Sejiwa.

Kemerdekaan adalah sebuah anugerah yang besar dan tidak ternilai kerana ia mengajar seseorang itu untuk berdiri di atas kaki sendiri, mendewasa dan mematangkan diri.

Detik 31 Ogos 1957 menjadi saksi bahawa sebuah negara bangsa telah terlahir hasil perjuangan perajurit bersama pemimpin dan rakyat pada ketika itu untuk menuntut kemerdekaan. Melalui perjuangan ini, bumi Malaysia yang didiami 3 kaum utama serta ratusan etnik dan suku telah dapat mengecapi keharmonian sehingga ke hari ini.

Marilah kita menghayati maksud sebenar kemerdekaan yang dilaung-laungkan. Setelah 60 tahun berlalu, Malaysia terus unggul memacu ekonomi menuju ke arah negara maju dan berpendapatan tinggi. Pencapaian ini adalah hasil daripada kestabilan pentadbiran kerajaan dalam melaksanakan dasar-dasar yang memberi faedah kepada rakyat. Kestabilan yang diukur bukan hanya melalui kekuatan nilai ringgit semata-mata, tetapi bagaimana seluruh rakyat dapat merasai nikmat kemajuan bersama-sama.

Pertumbuhan ekonomi yang pesat mutakhir ini menggambarkan juga bahawa ekonomi negara telah menunjukkan peningkatan ‘significant’ berbanding negara-negara jiran. Ini dibuktikan apabila indeks KDNK pada suku kedua 2017 telah menokok sebanyak 5.8 peratus berbanding 4.0 peratus pada suku yang sama 2016. Merdeka inilah yang diertikan dalam konteks kestabilan sejagat dan kekukuhan ekonomi dari semasa ke semasa.

Sebagai sebuah negara merdeka, kepelbagaian kaum, agama dan budaya yang sentiasa diraikan bersama itu telah menjadikan Malaysia sebuah negara berentiti unik berbanding negara lain. Melalui interpretasi berdasarkan kepelbagaian ini juga telah mencetus suatu keghairahan kepada masyarakat luar untuk mengenal Malaysia dengan lebih dekat sekaligus merancakkan aktiviti pelancongan.

Kejayaan kontinjen negara mengatasi sasaran 111 pingat emas dalam Sukan Sea Kuala Lumpur 2017 ini membuktikan keupayaan sebuah negara merdeka untuk memberi cabaran sengit melalui penyatuan semangat terhadap lawannya. Ini sekaligus menjadikan penanda aras baru bahawa Malaysia sedang berada pada landasan terbaik untuk berdiri teguh dalam aspek kesukanan seiring negara-negara maju yang lain.

Beringatlah bahawa sekiranya kita tidak bersatu, maka hilanglah solidariti dan kesepaduan lantas segala yang kita usahakan selama ini akan hancur dan sia-sia.

Semoga Pencipta Yang Maha Esa, kekal memayungi dan merahmati negara bertuah Malaysia.

Selamat menyambut Hari Kebangsaan!

YB Datuk Mas Ermieyati Samsudin
Timbalan Menteri Pelancongan & Kebudayaan
Merangkap Ketua Pergerakan Puteri UMNO Malaysia

Popular posts from this blog

CERGASKAN DIRIMU DI HARI SUKAN NEGARA 2016

3 Lagenda Malaysia Gegarkan Paralimpik Rio 2016