Perutusan Sukan Sea Kuala Lumpur 2017 - Mas Ermieyati Samsudin



Menutup tirai temasya sukan paling berprestij di Asia Tenggara, Sukan Sea ke-29 Kuala Lumpur menjadi kenangan terindah buat seluruh rakyat Malaysia. Sejarah juga telah tercipta pada edisi kali ini apabila kontinjen negara bukan sahaja telah berjaya mencapai sasaran 111 Pingat emas malah telah menampilkan prestasi paling cemerlang dalam sejarah sukan negara.

Kita harus berbangga dengan pencapaian KL2017. Jelas, persembahan memukau pada pembukaan dan penutup temasya kali merupakan petanda bahawa Malaysia telah meletakkan satu penanda aras yang tinggi di kalangan negara-negara ASEAN bagi mencapai standard penganjuran sukan bertarafantarabangsa.

Setinggi-tinggi tahniah dan syabas saya ucapkan kepada YB Brig. Jen. Khairy Jamaluddin di atas sifat kepimpinan yang ditunjukkan sepanjang menerajui temasya sukan ini. Beliau bukan sahaja cemerlang sebagai Menteri yang mengetuai Kementerian Belia dan Sukan, malah beliau juga hebat sebagai seorang atlet Ekuestrian Polo pada Sukan Sea kali ini. Paling membanggakan, beliau telah mencatat rekod sebagai menteri pertama di Malaysia memenangi pingat emas dalam mana-mana acara yang dipertandingkan. Peranan beliau sebagai penyuntik semangat di sebalik tabir temasya juga cukup bermakna buat seluruh kontinjen negara.

Sekalung penghargaan ditujukan khas buat pasukan Sukarelawan Kuala Lumpur 2017 serta pasukan keselamatan negara kerana telah menjalankan tugas dengan efektif bagi memastikan kelancaran dan keselamatan awam sentiasa berada pada tahap tertinggi.

Rakyat Malaysia juga berasa amat bertuah dengan kehadiran YAB Dato’ Seri Najib Tun Abdul Razak dan isteri serta pemimpin-pemimpin utama negara yang lain ke acara-acara utama sepanjang temasya berlangsung bagi memberi semangat dan bersorak demi #teamMAS.

Saya percaya simbolik RIMAU sebagai maskot negara sepanjang temasya telah berjaya membangkitkan semangat juang yang tinggi melepasi sasaran yang ditetapkan.

Masakan tidak, semangat #BangkitBersama di hadapan penyokong bukan sahaja telah berjaya melakukan pelbagai kejutan malah menamatkan beberapa kemarau kemenangan dalam Sukan Sea kali ini. Antaranya pasukan Bola Jaring berjaya menamatkan 16 tahun kemarau dengan menewaskan Singapura, Pasukan Gimnastik Berirama menamatkan 10 tahun kemarau, Atlet Jalan Kaki Wanita menamatkan kemarau 18 tahun dan lain-lain.

Ayuh teruskan #BangkitBersama dalam temasya Sukan Para ASEAN ke-9 pada 17-23 September 2017 akan datang bagi menyokong kontinjen istimewa negara beraksi seperti dalam Sukan Para Olimpik Rio 2016 yang lalu.

Selaku Presiden Malaysia Dodgeball Federation (MDF), saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengajak seluruh rakyat Malaysia bersama-sama memberi sokongan kepada atlet negara dalam kejohanan Asia Pacific Championship 2017 Kuala Lumpur (APC2017KL) yang bakal berlangsung dari 29 September hingga 1 Oktober 2017 di Axiata Arena, Bukit Jalil, Kuala Lumpur. Sorakan penyokong amat saya nanti-nantikan!

Terima kasih saya ucapkan kepada seluruh rakyat Malaysia kerana sentiasa berada di belakang kontinjen negara bagi menzahirkan sokongan padu sepanjang temasya berlangsung. Akhir kata, teruskan menyokong apa jua yang direncanakan untuk negara kerana itulah yang terbaik buat Malaysia.

YB Datuk Mas Ermieyati Samsudin
Timbalan Menteri Pelancongan & Kebudayaan
Merangkap Ketua Pergerakan Puteri UMNO Malaysia

Popular posts from this blog

CERGASKAN DIRIMU DI HARI SUKAN NEGARA 2016

3 Lagenda Malaysia Gegarkan Paralimpik Rio 2016