Polis Trafik 'nadi' Hari Kebangsaan





KUALA LUMPUR 29 Ogos - Di sebalik keghairahan rak­yat Malaysia menyambut Hari Kebangsaan Ke-59 tahun di Dataran Merdeka, Rabu ini, ramai yang beranggapan tugas polis trafik hanya menjadi ‘pak pacak’ bagi kelancaran acara perarakan di ibu negara. Namun, tidak ramai menye­dari tugas berat digalas cabang utama Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu, bukan sekadar memastikan semua program yang dirancang mengikut jadual bahkan keselamatan orang ramai terjamin. 

Boleh dikatakan dari pagi hingga dinihari sebelum, semasa dan selepas sambutan, pasukan polis trafik di bawah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur memikul tanggungjawab yang cukup besar. Bermula dari penutupan jalan, mengawal lalu lintas, mengiringi aset, tinjauan dari Menara Kuala Lumpur dan Bangunan Sultan Abdul Samad hinggalah susun atur kenderaan orang kenamaan, semuanya dilakukan bagi me­li­cin­kan pergerakan sambutan di Dataran Merdeka. 

Ketua Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd. Nadzri Hussain berkata, bagi tujuan itu seramai 180 orang yang terdiri daripada pegawai dan anggota dibahagikan kepada beberapa kumpulan yang mempunyai pera­nan masing-masing. Ujar beliau, mereka akan bertugas sebelum, semasa dan selepas program di lokasi ditetapkan de­ngan penugasan yang berbeza. 

“Kebiasaannya orang ramai beranggapan peranan polis trafik hanya tutup jalan dan mengawal ken­deraan sepanjang program ini tetapi kita juga ada tugas lain,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini baru-baru ini. Mohd. Nadzri juga memberi­tahu, antara tugasan besar itu termasuklah mengiri­ngi­ Yang di-Pertuan Agong, Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri selain orang kenamaan dalam sambutan Hari Kebangsaan. Pihaknya juga bekerjasama dengan pihak Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dengan mengi­ringi beberapa aset terkini pasukan tentera yang akan turut menyertai perbarisan 31 Ogos ini. 

“Pihak trafik akan ke Kem Ten­tera Sungai Besi untuk me­ngi­ringi aset melibatkan beberapa jenis kenderaan tempur ATM sehinggalah ke Muzium Negara di sini untuk diletakkan sementara sebelum raptai dan hari kejadian. “Proses ini mengambil masa beberapa jam dan kita akan mengawal bersama-sama pihak ATM kerana ini adalah sebahagian dari­pada Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) antara PDRM dan ATM,” ujar beliau. 

Sumber : Utusan Online | 30 Ogos 2016

Popular posts from this blog

3 Lagenda Malaysia Gegarkan Paralimpik Rio 2016

Ulangtahun Ke-15 Tahun Pergerakan Puteri UMNO Malaysia