Sebanyak 743 calon UPSRA Wilayah Persekutuan dapat 7A - JAWI

KUALA LUMPUR: Sebanyak 743 daripada 6,668 calon yang menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah Agama (UPSRA) tahun ini di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya memperoleh 7A dalam semua mata pelajaran.

Sebanyak 743 calon UPSRA Wilayah Persekutuan dapat 7A - JAWI
UPSRA dijalankan serentak di seluruh Wilayah Persekutuan dari 6 hingga 13 Okt lepas. - Gambar fail

Timbalan Pengarah (Operasi) Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) Yaakob Abdul Rahim berkata peratus kelulusan keseluruhan tahun ini meningkat kepada 83 peratus berbanding 88.9 peratus tahun lepas.

"Seramai 479 calon lagi memperoleh 6A dalam peperiksaan itu. Secara keseluruhan, pencapaian UPSRA lebih baik berbanding tahun sebelumnya yang memberi petanda positif kepada perkembangan sistem pendidikan Sekolah Rendah Agama (SRA)," katanya semasa mengumumkan keputusan itu di sini pada Selasa.

Yaakob berkata mata pelajaran Al-Quran berjaya mengekalkan 100 peratus lulus bagi semua calon bagi lima tahun berturut-turut, manakala peratus kelulusan bagi mata pelajaran Tajwid dan Akhlak, masing-masing adalah 95 peratus, Feqah (93 peratus), Tauhid dan Bahasa Arab masing-masing 91 peratus dan Sirah (84 peratus).

Menurutnya tiga sekolah terbaik keseluruhan adalah SRA Al Ghazali, Kepong; SRA Al-Suyuthi, Kampung Pandan dan SRA Al-Ghufran, Pinggir Taman Tun Dr Ismail.

UPSRA dijalankan serentak di seluruh Wilayah Persekutuan dari 6 hingga 13 Okt lepas.

Seentara itu Yaakob berkata JAWI akan menaik taraf dua lagi SRA di ibu negara kepada Sekolah Integrasi Rendah JAWI (SIRAJ) tahun depan iaitu di SRA Abdullah Ibnu Abbas, Pantau Dalam dan SRA Abu Dzar Al-Ghifari, Kepong.

"Untuk fasa pertama tahun ini, dua sekolah menjadi perintis pelaksanaan SIRAJ iaitu SRA Saidina Uthman bin Affan, Bandar Tun Razak dan SRA Al-Alusi, Kampung Keramat yang melibatkan 350 murid tahun satu," katanya.

SIRAJ menggabungkan Kurikulum Sekolah Rendah Agama (KSRA) dengan waktu persekolahan bermula 7.30 pagi hingga 4 petang. -BERNAMA 

Popular posts from this blog

3 Lagenda Malaysia Gegarkan Paralimpik Rio 2016

CERGASKAN DIRIMU DI HARI SUKAN NEGARA 2016