Malaysia Mampu Hadapi Kelembapan Ekonomi Kerana Miliki Asas Kukuh - Othman

MELAKA, 14 DIS 2016 : Malaysia mampu menghadapi keadaan kelembapan ekonomi kerana mempunyai asas yang kukuh dan hasil negara yang tinggi, kata Timbalan Menteri Kewangan 1, Datuk Othman Aziz.

Malaysia mampu hadapi kelembapan ekonomi kerana miliki asas kukuh - Othman


Beliau berkata negara mempunyai rizab sehingga RM405 bilion, pertumbuhan ekonomi meningkat antara empat dan lima peratus serta lebih tinggi daripada perbelanjaan mengurus.

"Malaysia adalah negara ekonomi terbuka. Jadi, apa-apa yang berlaku di Amerika Syarikat, China dan Eropah termasuk kemelesetan ekonomi, ia sedikit sebanyak memberi kesan kepada kita.

"Namun, negara kita mempunyai asas ekonomi yang kukuh," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Perwakilan Tiga Tahunan Kali Kelima Kesatuan Kebangsaan Pekerja-Pekerja Telekomunikasi Semenanjung Malaysia (NUTE) di sini, pada Selasa.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Telekom Malaysia Tan Sri Zamzamzairani Mohd Isa dan Presiden NUTE Mohd Jafar Abd Majid.

Othman berkata walaupun negara menghadapi kelembapan ekonomi, kerajaan memperuntukkan RM46 bilion untuk perbelanjaan ekonomi, kerajaan memperuntukkan RM46 bilion untuk perbelanjaan pembangunan bagi meneruskan projek pembangunan dalam sektor kerajaan.

Katanya kerajaan yakin pertumbuhan ekonomi negara akan berkembang dengan lebih pesat dalam jangka masa panjang dengan pelaksanaan pelbagai projek besar yang dibangunkan pihak swasta.

"Kerajaan telah merancang ekonomi negara ini mengikut kemampuan sedia ada dan unjuran masa depan. Jadi, kita bersiap sedia untuk menghadapi cabaran seperti ini.

"Lagipun ini bukan kali pertama, kita telah melaluinya sejak 10 tahun sebelum ini," katanya.

Sementara itu, Othman berkata keahlian NUTE kini telah mencecah 8,000 orang melibatkan 15 cawangan di seluruh Semenanjung Malaysia dan Labuan.

Beliau berkata NUTE diharap akan terus menjadi orang tengah untuk menyelesaikan apa jua masalah antara pekerja dan majikan supaya hubungan yang harmoni dapat dikekalkan demi kepentingan bersaa. -BERNAMA

Popular posts from this blog

CERGASKAN DIRIMU DI HARI SUKAN NEGARA 2016

3 Lagenda Malaysia Gegarkan Paralimpik Rio 2016