Kejayaan Faiz Penanda Aras Baharu Bola Sepak Negara - FAM

KUALA LUMPUR, 10 JAN 2017 : Siapa sangka, Mohd Faiz Subri yang dahulunya bermain bola sepak di kawasan sawah padi di kampungnya Jerlun Kedah telah berjaya meraih Anugerah PUSKAS Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) 2016 sekaligus menjadi penanda aras baharu dalam arena bola sepak tanah air untuk mencapai kecemerlangan di persada antarabangsa.



Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin ketika dihubungi Bernama, berkata kejayaan itu membuatkan lebih ramai pemain lain akan berusaha untuk mencapai kejayaan di pentas bola sepak dunia.

"Kejayaan ini bukan sahaja buat dirinya namun ia penting bagi pemain lain meletakkan sasaran pencapaian peribadi mereka dalam bola sepak. Saya percaya sedikit sebanyak, ia akan memberi kesan positif kepada pemain lain," katanya.

Beliau berkata pengiktirafan terhadap jaringan penyerang Pulau Pinang itu sebagai gol tercantik di dunia sepanjang 2016 oleh FIFA di majlis anugerah berkenaan di Zurich, Switzerland pada Isnin, ternyata sesuatu yang luar biasa dalam arena bola sepak Malaysia, sekaligus mengharumkan nama negara.

Pencapaian Mohd Faiz itu membuktikan pemain tempatan adalah setanding dan boleh 'berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah' dengan pemain handalan dunia.

Bagaimanapun, bakat pemain tempatan masih perlu diasah bagi melahirkan pemain kelas dunia pula, kata Hamidin.

Pada awalnya, beliau berkata sama ada Mohd Faiz berjaya atau tidak meraih anuggerah tersebut bukan persoalan utama kerana namanya disenarai pendek dalam pencalonan tiga jaringan tercantik di dunia pun sudah membanggakan peminat tanah air.

Dua lagi calon ialah Johnath Marlone Azevedo da Silva dari Brazil dan pemain wanita, Daniuska Rodriguez dari Venezuela.

"Tahniah saya ucapkan kepada Mohd Faiz daripada pihak FAM dan peminat bola sepak negara. Kemenangannya membuatkan seluruh dunia membuka mata dan mengangkat nama Malaysia di persada dunia," katanya.

Gol tercantik dunia oleh Mohd Faiz itu adalah melalui sepakan percuma semasa perlawanan Pulau Pinang menentang Pahang pada perlawanan Liga Super, 16 Feb tahun lepas.

Sepakan melencong masuk ke gawang lawan itu membolehkan beliau bersaing dengan sembilan pemain lain pada peringkat awal, termasuk Lionel Messi dari Argentina dan Neymar dari Brazil untuk anugerah itu.

Anugerah Puskas dinamakan penyerang lagenda Hungary, Ferenc Puskas yang menjulang tiga gelaran Eropah bersama pasukan gergasi Sepanyol, Real Madrid dari 1959 hingga 1966.

Sejak diperkenalkan pada 2009, anugerah yang bertujuan mengiktiraf gol tercantik sepanjang tahun itu dimenangi bintang bola sepak terkenal dunia antaranya Cristiano Ronaldo, Zlatan Ibrahimovic, neymar dan James Rodriguez. BERNAMA

Popular posts from this blog

3 Lagenda Malaysia Gegarkan Paralimpik Rio 2016

Ulangtahun Ke-15 Tahun Pergerakan Puteri UMNO Malaysia