Mesyuarat Luar Biasa OIC di Kuala Lumpur Hari Ini Bincang Isu Rohingya
KUALA LUMPUR, 19 JAN 2017 : Majlis Menteri-Menteri Luar Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) akan mengadakan mesyuarat luar biasa di sini hari ini bagi membincangkan keadaan masyarakat minoriti Islam Rohingya di Myanmar.
Krisis yang berlarutan di wilayah Rakhine menyebabkan beribu-ribu masyarakat Rohingya lari meninggalkan Myanmar di tengah-tengah laporan mengenai kekejaman, rogol dan pembunuhan. -Gambar fail
Malaysia yang meminta OIC mengadakan mesyuarat tersebut akan mempengerusikan mesyuarat sehari itu di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur dengan semua menteri luar dari 57 negara anggota dijangka menghadirinya.
Mesyuarat bermula pada 9.30 pagi dengan mesyuarat pegawai kanan dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dijadual menyampaikan ucaptama pada mesyuarat berkenaan.
Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman, yang bertindak sebagai Pengerusi mesyuarat luar biasa itu, dan Setiausaha Agung OIC Dr Yousef Ahmad Al-Othaimeen juga akan berucap pada mesyuarat.
Ini diikuti dengan mesyuarat peringkat menteri.
Menurut laporan, krisis yang berlarutan di wilayah Rakhine menyebabkan beribu-ribu masyarakat Rohingya lari meninggalkan Myanmar di tengah-tengah laporan mengenai kekejaman, rogol dan pembunuhan tetapi dinafikan oleh kerajaan Myanmar.
Mesyuarat Kuala Lumpur dijangka mengeluarkan dua dokumen - resolusi dan pernyataan bersama untuk menampilkan pendirian bersatu dalam kalangan negara anggota berhubung isu tersebut. -BERNAMA