Pasport Malaysia ke-Lima Terhebat
KUALA LUMPUR, 17 JAN 2017 : Pasport Malaysia dinobat kelima paling berkuasa dalam penarafan dunia, susulan status pemegang dokumen perjalanan itu boleh mengunjungi 153 negara tanpa memerlukan visa.
Kajian terbaru untuk 2017 yang dikemukakan Indeks Pasport Arton Capital's menerusi laman web rasminya, turut menyaksikan Malaysia berkongsi kedudukan dengan Kanada, Ireand dan New Zealand.
Greece, Korea Selatan dan Australia berada di tangga keenam dengan masing-masing memperoleh 152 markah, manakala beberapa negara rantau Asia seperti Vietnam di tangga ke 76, China (66), Filipina (64) dan Thailand di kedudukan ke-55.
Analisis perbandingan 199 pasport negara Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan enam jajahan takluknya itu dilaksana bersandarkan beberapa faktor, termasuk pandangan masyarakat antarabangsa mengenai negara berkaitan.
Tahun ini menyaksikan kedudukan teratas disandang oleh Jerman dengan 157 mata, manakala Sweeden dan Singapura berada pada tangga kedua dengan masing-masing memperoleh 156 mata.
Bangladesh, Sri Lanka, Sudan Selatan, Habsyah, Somalia, Syria, Iraq, Pakistan dan Afghanistan berada pada kedudukan terbawah.