Hadiah RM1 Juta Menanti Ahli UMNO Bertuah
KUALA LUMPUR, 11 APRIL 2017: Ahli UMNO yang berdaftar sebagai pengundi layak memenangi hadiah cabutan bertuah bernilai RM1 juta sempena Sambutan Hari UMNO Ke-71 yang akan diadakan Stadium Nasional Bukit Jalil, di sini pada 11 Mei ini.
Setiausaha Kerja UMNO, Datuk Seri Abd Rauf Yusoh, berkata untuk memenangi cabutan bertuah yang merangkumi antaranya tujuh kereta termasuk Proton Perdana, Persona, Preve, Suprima, Saga, Iriz dan Perodua Myvi serta 10 motosikal itu, ahli perlu mendaftar untuk hadir ke program berkenaan menerusi aplikasi Malaysia4All.
Beliau berkata, hadiah cabutan bertuah terbuka luas kepada ahli dengan syarat mereka perlu hadir ke Stadium Nasional Bukit Jalil sebagai tanda kesatuan untuk bersama merayakan sambutan ulang tahun ke-71 UMNO membina negara selain menghargai peranan ahli dalam menghayati perjuangan parti.
Katanya, pendaftaran untuk cabutan bertuah dibuka sehingga 10 Mei ini. "Bagi menjaga ketelusan, cabutan bertuah akan dikawal selia audit antarabangsa bagi memastikan ia dilaksana menerusi sistem yang lebih telus dan saksama," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat penyelarasan Sambutan Hari UMNO Ke-71 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini, hari ini.
Abd Rauf berkata, UMNO juga menganjurkan pertandingan esei dan video Hari UMNO 71 bertemakan 'Tujuh Dekad Membangunkan Negara Bangsa' yang menyediakan hadiah lumayan bagi kategori penulisan Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris serta video pendek.
Pemenang pertama akan membawa pulang hadiah wang tunai RM5,000 bersama hadiah iringan, manakala pemenang kedua menerima RM3,000 dan hadiah iringan dan pemenang ketiga mendapat RM2,000 dan hadiah iringan.
Pertandingan itu terbuka kepada warga Malaysia berumur tidak melebihi 30 tahun pada tarikh penyertaan iaitu sebelum jam 5 petang pada 8 Mei ini. Setiap esei tidak melebihi 1,500 patah perkataan bagi kedua-dua kategori dan perlu dihantar melalui emel di laman sesawang eseiumno71@gmail.com, manakala video berdurasi tidak melebihi tiga minit. -BERITA HARIAN