PUTERI UMNO LANCAR KEMPEN CEGAH KEMURUNGAN


KUALA LUMPUR: Sebanyak 93 peratus wanita yang mendapatkan bantuan Majlis Kebangsaan Pertubuhan Wanita (NCWO) berdepan masalah kemurungan, kata Ketua Puteri UMNO, Datuk Mas Ermieyati Samsudin. 

Sehubungan itu, beliau yang juga Timbalan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, berkata Puteri UMNO melancarkan kempen video kesihatan mental, 'Kemurungan: Mari Bincang' untuk mendidik dan memperkasa wanita mengenai isu itu bermula hari ini. 

Beliau berkata, kes kemurungan kerap berlaku dalam kalangan masyarakat terutama wanita tetapi tidak dibincangkan secara terbuka atas faktor stigma. 

"Budaya di negara kita adalah tidak membincangkan masalah secara terbuka, mereka takut, bimbang dan tidak berani meluahkan perkara yang mengganggu fikiran, situasi ini akan meningkatkan kemurungan.

"Mari jadikan budaya meluahkan sebagai cara menjalani hidup sihat. Menerusi kempen ini, sesiapa sahaja boleh memuat naik video atau berkongsi video mengenai kemurungan dan cara mengatasinya di Facebook dan Twitter rasmi Puteri," katanya selepas melancarkan kempen video kesihatan mental, Kemurungan : Mari Bincang, di Dewan Rakyat, sebentar tadi. 

Mas Ermieyanti berkata, kempen itu untuk meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai isu kesihatan global semasa sempena Hari Kesihatan Sedunia disambut pada 7 April setiap tahun sekali gus memperingati penubuhan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO). 

Sementara itu, EXCO Kesihatan Puteri yang juga penggerak kempen, Dr Nur Faizah Ali berkata, semua klinik kerajaan di seluruh negara sedia menjalankan pemeriksaan awal kemurungan kepada orang ramai. 

"Semua doktor di seluruh negara boleh mengesan simptom awal kemurungan dan pesakit akan dirujuk kepada pakar sekiranya perlu. Justeru, orang ramai boleh mula menggunakan kemudahan perkhidmatan itu," katanya. 

Selain itu, Dr Nur Faizah berkata, orang ramai juga boleh menghadiri Seminar Kemurungan: Mari Bincang yang dianjurkan Kementerian Kesihatan di Pusat Konvensyen Sunway pada 21 hingga 23 April ini.

Sumber : BH

Popular posts from this blog

3 Lagenda Malaysia Gegarkan Paralimpik Rio 2016

CERGASKAN DIRIMU DI HARI SUKAN NEGARA 2016