Azmin Ali Perlu Bersikap Budiman - Mas Ermieyati


MASJID TANAH: YB Datuk Hjh Mas Ermieyati Samsudin, Ketua Pergerakan Puteri UMNO Malaysia berpendapat Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali perlu bersikap lebih 'gentleman' atau budiman dalam membuat keputusan berhubung kedudukan tiga EXCO kerajaan negeri daripada PAS.

YB Datuk Hjh Mas Ermieyati Samsudin turut berkata ini kerana beliau melihat pemimpin itu mengambil jalan selamat untuk menjaga kedudukan sendiri dalam kerajaan negeri.

"Sepatutnya beliau (Azmin) perlu mengambil tindakan lebih tegas (memecat) kerana tahaluf siyasi antara PKR dengan PAS sudah terputus.

"Dia seperti takut pengaruhnya akan berkurang ataupun mungkin berasakan tidak akan popular jika mengambil pendekatan memecat ketiga-tiga EXCO daripada PAS," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyertai program Ziarah Kasih di tujuh rumah golongan kurang berkemampuan di sekitar Parlimen Masjid Tanah di sini.

Mas Ermieyati yang juga Timbalan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan turut menyifatkan perpaduan dalam kalangan pakatan pembangkang adalah rapuh dan Azmin hanyalah boneka kepada parti pembangkang lain yang akhirnya menjejaskan rakyat negeri itu sendiri.

"Pada saya, pakatan bukan kerajaan yang stabil di Selangor. Saya yakin mereka sebenarnya bermasalah dan tidak mementingkan rakyat," katanya. -BERITA HARIAN

Popular posts from this blog

CERGASKAN DIRIMU DI HARI SUKAN NEGARA 2016

3 Lagenda Malaysia Gegarkan Paralimpik Rio 2016