Cakap Belakang Lumrah Manusia - Mas Ermieyati
JASIN: Di sebalik kejayaan Sambutan Hari UMNO ke-71 di Stadium Nasional Bukit Jalil khamis lalu, tetap masih ramai yang 'berkata belakang' dan Puteri UMNO menyifatkan ianya sebagai lumrah kehidupan manusia.
Ketua Puteri UMNO Malaysia berkata meskipun penganjur sudah melakukan yang terbaik, ia sudah pasti tidak mampu memuaskan hati semua pihak.
Ibarat 'rumah siap pahat berbunyi', YB Datuk Hjh Mas Ermieyati Samsudin yang juga Timbalan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, berkata perkara itu sudah biasa dihadapi pihak penganjur terutama sekali parti gergasi seperti UMNO.
"Perjalanan sambutan itu cukup baik dan cantik, bermula dengan solat Maghrib berjemaah diimamkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, diikuti dengan bacaan Yassin dan Tahlil.
"Di dalam stadium pula, berlangsung larian bendera dan majlis ucapan Presiden UMNO yang sangat bersemangat dan padu untuk dihayati semua yang hadir.
"Biasalah, dalam 200,000 yang hadir, mungkin ada yang tidak puas hati dalam beberapa perkara dan muncul juga golongan 'cakap belakang', saya anggap itu sebagai lumrah manusia," katanya selepas menutup Program Semarak @ Chenderah di Kampung Chenderah.
Sambutan Hari UMNO ke-71 yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil, khamis lalu berjaya menghimpunkan kira-kira 200,000 ahli parti dari seluruh negara.
Namun, beberapa pihak mempertikaikan jumlah kehadiran berkenaan, selain beberapa perkara lain termasuk sistem cabutan nama bertuah. -BERITA HARIAN