Puteri UMNO Kutuk Isu Bapa Rogol Anak - Mas Ermieyati
KUALA LUMPUR: Baru-baru ini kita gempar dengan berita seorang bapa yang merogol dan meliwat anak perempuan kandungnya sendiri. Berita ini amat dikutuk dan ditentang habis-habisan oleh Puteri UMNO Malaysia yang selama ini amat menitikberatkan jenayah seksual terhadap kanak-kanak.
Ketua Pergerakan Puteri UMNO Malaysia, YB Datuk Hjh Mas Ermieyati Samsudin berkata kes tersebut telah dibawa ke Mahkamah Khas di bawah akta Jenayah Seksual Kanak-Kanak di Putrajaya sepatutnya menjadi peringatan kepada orang ramai terutama sekali ibu bapa untuk sentiasa melindungi anak-anak mereka dan mencegah daripada dieskploitasi bukannya menjadikan anak sendiri sebagai tempat melepaskan nafsu sendiri.
Beliau yang juga merupakan seorang peguam suatu ketika dahulu berkata penubuhan Mahkamah Khas mengenai Jenayah Seksual Kanak-Kanak pada Jun yang lalu amat tepat ditubuhkan kerana ianya membolehkan mangsa untuk mendapatkan hak keadilan serta memastikan yang bersalah dijatuhkan hukuman.
"Saya ingin menekankan bahawa perbuatan yang tidak senonoh oleh bapa tersebut amat mengejutkan semua pihak. Sebanyak 626 pertuduhan yang melibatkan liwat dan rogol adalah sesuatu kenyataan yang amat tidak boleh diterima," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
"Sebagai seorang bapa dan pemimpin keluarganya, dia sepatutnya memberikan contoh yang baik kepada anak-anak. Malah mangsa harus diberikan keadilan dan sokongan agar tidak mengalami trauma yang lama dan membantu anak tersebut untuk meneruskan corak hidupnya seperti kanak-kanak yang lain.
"Dia (pesalah) harus dipertanggungjawabkan atas perbuatannya yang kejam dan memberi kesan negatif kepada keluarganya serta menjatuhkan maruah keluarga."