JPP Bukan Jentera Bawa Agenda Politik, Kata Halimah



KUALA TERENGGANU, 19 Sept – Jawatankuasa Perwakilan Penduduk (JPP) bukanlah ejen untuk agenda politik Barisan Nasional (BN), kata Timbalan Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan Dan Kerajaan Tempatan (KPKT) Datuk Halimah Mohamed Sadique.
Katanya, pemilihan anggota JPP dibuat secara terperinci dengan syarat mereka bukan Ahli Majlis dan keutamaan diberikan kepada penduduk yang bergiat aktif dalam pertubuhan, persatuan atau kerja-kerja amal.
“Mereka ini bukan jentera kita. Ada orang tuduh sengaja tubuh JPP sebagai jentera parti dan politik sedangkan ini adalah jentera yang membawa harapan, suara dan harapan masyarakat bandar yang terdiri daripada pelbagai kaum.

“Ia bukan mekanisme kepartian yang diwujudkan untuk kepentingan politik. Ia persepsi mereka yang tidak bertanggungjawab yang tidak berpuas hati,” katanya dalam sidang media selepas majlis Penyampaian Watikah Pelantikan dan Sesi Townhall Bersama JPP Negeri Terengganu.

alimah berkata terdapat tiga objektif penubuhan JPP iaitu untuk menggalakkan penyertaan penduduk dalam program dan pembangunan kawasan setempat; membantu menangani isu-isu kesejahteraan bandar dan meningkatkan sistem penyampaian perkhidmatan kerajaan serta mewujudkan hubungan baik antara masyarakat di kawasan kejiranan setempat.
Turut hadir di majlis tersebut ialah Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesejahteraan Bandar Negeri Datuk Mohd Jidin Shafee.
Tambahnya, sehingga 31 Ogos 2017, sebanyak 2,272 Zon JPP telah ditubuhkan di seluruh Semenanjung Malaysia dan seramai 14, 726 anggota JPP telah dilantik.
“KPKT telah melantik 1,414 orang anggota JPP negeri Terengganu bagi penggal kedua untuk tempoh mulai 15 April 2017 sehingga 14 April 2019. Pelantikan ini telah menjadikan negeri Terengganu mencapai 80 peratus keanggotaan JPP yang lengkap mengikut Zon.
“KPKT telah menyalurkan Pemberian Peruntukan Khas KPKT berjumlah RM30,000 kepada setiap empat anggota Parlimen iaitu Besut, Setiu, Hulu Terengganu dan Kemaman. Peruntukan tersebut disalurkan pada 7 Mac lalu,” katanya.
Menurut Halimah, peruntukan itu akan digunakan untuk pelbagai program gotong-royong, pendidikan, pengurusan sisa pepejal dan ramah mesra bersama masyarakat.
Mengikut rekod, JPP telah ditubuhkan pada 2014 untuk memperkasa komuniti bagi pembinaan masyarakat yang produktif dan sejahtera.

Popular posts from this blog

3 Lagenda Malaysia Gegarkan Paralimpik Rio 2016

CERGASKAN DIRIMU DI HARI SUKAN NEGARA 2016