200 Peserta Sertai ‘Hiking 1 Negeri 1 Gunung’ Di Gunung Datuk


REMBAU, 17 Sept  — Kira-kira 200 peserta dari seluruh negara menyertai Program ‘Hiking 1 Negeri 1 Gunung’ yang merupakan ekspedisi pendakian di Gunung Datuk, di sini, hari ini.
Ekspedisi di Gunung Datuk yang merupakan permulaan bagi program berkenaan turut disertai Timbalan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Mas Ermieyati Samsudin dan pendakian bermula seawal 7.45 pagi.

Mas Ermieyati berkata program itu mendapat sambutan yang amat menggalakkan daripada golongan belia memandangkan dalam tempoh tiga jam pendaftaran dibuka, jumlah penyertaan berjaya diperoleh seramai 200 orang mengikut kuota penyertaan yang ditetapkan.
“Ini menunjukkan anak muda cukup meminati aktiviti hiking ini dan mereka mempunyai minat yang mendalam…jadi aktiviti dianjurkan memang tepat pada masanya dan saya harap ia dapat dijadikan sebagai cara hidup sihat,” katanya selepas merasmikan dan menyempurnakan acara pelepasan peserta program ‘Hiking 1 Negeri 1 Gunung’ di sini, hari ini.
Mas Ermieyati berkata menerusi program seperti itu juga, secara tidak langsung ia dapat mempromosikan keindahan alam sekitar dan kawasan pelancongan domestik yang ada di negara ini.
“Kita juga seharusnya tawan dahulu apa juga tempat yang menarik yang ada di negara ini sebelum kita lihat tempat lain,” katanya.
Program itu merupakan program anjuran Gerakwanis Gerakan Belia 4B Malaysia.
Sumber : UMNO Online


Popular posts from this blog

3 Lagenda Malaysia Gegarkan Paralimpik Rio 2016

CERGASKAN DIRIMU DI HARI SUKAN NEGARA 2016