Isu nafkah wanita, anak perlu penyelesaian segera - Mas Ermieyati Samsudin


KUALA LUMPUR: Puteri UMNO mencadangkan supaya Bahagian Sokongan Keluarga, Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) diperkasa bagi memastikan isu nafkah terhadap wanita dan anak dapat diselesaikan tanpa memerlukan perintah pelaksanaan daripada mahkamah.

Ketuanya, Datuk Mas Ermieyati Samsudin, berkata statistik menunjukkan sebanyak 171,252 perceraian dalam kalangan pasangan Islam dari 2014 hingga 2016.

Sehubungan, katanya, nasib wanita dan anak yang menjadi mangsa keadaan perlu diberi perhatian supaya kehidupan mereka terbela.

"Situasi ini bertambah teruk apabila kebanyakan daripada wanita ini mempunyai kefahaman yang rendah terhadap undang-undang syariah.

"Di Terengganu saja, sebanyak 1,371 kes ingkar perintah nafkah yang diadukan sejak 2010 hingga 2016. Sebanyak 588 kes difailkan ke Mahkamah Syariah Terengganu bagi tujuan penguatkuasaan dan pelaksanaan perintah.

"Justeru, Puteri ingin mengusulkan supaya Bahagian Sokongan Keluarga diperkasa supaya isu ini dapat diselesaikan segera," katanya ketika menyampaikan ucapan dasar bertajuk 'Mentaliti Negaraku Memperkasa Wanita Ke Arah Kecemerlangan' pada Perhimpunan Agung Puteri UMNO 2017 di sini, hari ini.

Mas Ermieyati berkata, pelantikan Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof Datuk Seri Dr Zaleha Kamarudin sebagai Hakim Mahkamah Rayuan Syariah Terengganu serta beberapa hakim wanita lain diyakini dapat memberi kesan besar kepada golongan wanita yang terbabit.

Beliau turut menggesa Majlis Peguam Syarie Malaysia yang menyamai fungsi 'Majlis Peguam Malaysia' ditubuhkan segera bagi menyelesaikan pelbagai isu perceraian yang lewat di mahkamah.

"Badan ini jika ditubuhkan kelak akan memberikan kesan positif termasuk meningkatkan kredibiliti dan integriti pengamal undang-undang syariah yang seterusnya mampu mengelakkan kes yang menindas wanita," katanya - Berita Harian


Popular posts from this blog

CERGASKAN DIRIMU DI HARI SUKAN NEGARA 2016