Lebih 50,000 Orang Hadir ke Rumah Terbuka Malaysia Aidilfitri 2016


Bagan Datoh, 25 Julai 2016 - Lebih daripada 50 000 orang pengunjung yang rata-ratanya terdiri daripada rakyat Malaysia berbilang kaum, agama dan bangsa menghadiri Majlis Rumah Terbuka Malaysia Aidilfitri 2016 pada ahad lalu yang diadakan di padang Sekolah Menengah Kebangsaan Hutan Melintang di sini. 


Majlis yang lebih berkonsepkan pemimpin bersama rakyat ini dimeriahkan lagi dengan kehadiran Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor serta tuan rumah, Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan isteri, Datin Seri Hamidah Khamis. 

Majlis yang dianjurkan bersama oleh Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan dan kerajaan negeri Perak ini turut dihadiri oleh Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz dan timbalan menterinya, Datuk Hjh Mas Ermieyati Samsudin serta Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir dan isteri, Datin Seri Sharipah Zulkifli.


Malah, majlis ini tidak hanya bersandarkan kepada jamuan semata-mata pada sebelah petang dan persembahan kesenian pada sebelah malam, tetapi rakyat juga berpeluang mendapatkan perkhidmatan dan maklumat dari pelbagai agensi kerajaan dari pagi lagi antaranya ialah Suruhanjaya Pilihan Raya, Jabatan Pengangkutan Jalan, Yayasan Pembangunan Islam Malaysia dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia. Turut diadakan ialah acara demonstrasi dan persembahan kesenian dari agensi-agensi terlibat termasuk Pertandingan Miss Kebaya dan Mr. Baju Melayu, Pertandingan Panjut dan Pertandingan Idola Raya 2016. 




Sepanjang malam pula, pengunjung dan tetamu kenamaan telah dihiburkan dengan persembahan khas muzikal Aidilfitri yang dijayakan oleh gandingan artis artis lama dan baru selain dimeriahkan lagi dengan tembakan bunga api.

Antara rakan artis yang hadir ialah Datuk D.J Dave, Datuk Jalaluddin Hassan, Datuk Jamal Abdillah, Hail Amir, Awie, Wan Maimunah, Asmidar Ahmad, Ebby Yus, Kumpulan Rabbani, Syafinaz Selamat dan ramai lagi. 


Majlis yang julung kali diadakan di Bagan Datoh ini merupakan usaha untuk mempromosikan kawasan yang baru diwartakan sebagai sebuah daerah penuh yang ke-12 pada 15 Jun lepas.



Popular posts from this blog

CERGASKAN DIRIMU DI HARI SUKAN NEGARA 2016

3 Lagenda Malaysia Gegarkan Paralimpik Rio 2016