"Bila Saya Tengok PEMANAS, Saya Boleh Tidur Lena" - PM Najib

KUALA LUMPUR, 28 NOV 2016 : Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengagumi semangat dan kebolehan yang ditonjolkan peserta Persidangan Kepimpinan Mahasiswa Nasional (PEMANAS 4.0) 2016.

"Bila saya tengok PEMANAS, saya boleh tidur lena" - PM Najib
Beliau berkata semangat perjuangan yang ditunjukkan mahasiswa PEMANAS 4.0 memberi masa hadapan yang cerah buat negara.

"Saya rasa program PEMANAS berjaya. Saya berasa lega. Imam Al-Ghazali berkata, kalau mahu tengok masa hadapan negara, tengoklah orang muda hari ini.

"Jadi bila saya tengok orang muda hari ini, dalam dewan ini, malam ini saya boleh tidur lena," katanya ketika ucapan pada PEMANAS 4.0 pada Ahad malam di Dewan Ballroom Menara Felda, Platinum Park Persiaran KLCC, di sini.

PEMANAS merupakan satu platform kepada mahasiswa untuk memahami dan menghayati perjuangan UMNO selain memilih wakil yang akan berucap di Perhimpunan Agung UMNO 2016 minggu depan.

Disertai 300 mahasiswa, PEMANAS 4.0 berlangsung selama empat hari dengan tema 'Mahasiswa Arkitek Masa Hadapan'.

Najib dalam ucapannya juga menegaskan setiap mahasiswa perlu mempunyai peta perancangan hidup untuk menentukan hala tuju kehidupan mereka yang lebih baik.

Menurutnya, dunia pada masa ini dan akan datang akan menjadi lebih kompetitif berbanding dulu dan hanya mereka yang memiliki daya saing sahaja mampu berjaya dalam kehidupan. -AWANI



Popular posts from this blog

3 Lagenda Malaysia Gegarkan Paralimpik Rio 2016

CERGASKAN DIRIMU DI HARI SUKAN NEGARA 2016