Puteri Perlu Bawa UMNO Sebagai Jenama Untuk Dekati Rakyat – Mas Ermieyati
KUALA LUMPUR, 23 Nov – Ketua Pergerakan Puteri UMNO Malaysia, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, semua ahli Puteri harus berbangga membawa ‘jenama’ Puteri UMNO itu sendiri dalam mendekati rakyat.
Oleh yang demikian jelasnya, Perhimpunan Agung UMNO yang bakal berlangsung pada 29 November hingga 3 Disember ini patut dijadikan landasan terbaik memupuk semangat jati diri untuk berhadapan dengan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) akan datang.
Ikutilah wawancara khas bersama beliau sempena Perhimpunan Agung UMNO 2016.
S: Dalam usia UMNO 70 tahun, pelbagai dugaan telah dilalui terutama di era dunia digital ini. Bagaimana Datuk melihat perkembangan Puteri itu sendiri pada usia ini?
J: Melihat bahawa usia 70 tahun UMNO itu, ia telah mencorakkan negara kita ke tahap yang begitu membanggakan. Peranan-peranan yang dimainkan oleh pemimpin terdahulu dalam usaha untuk memerdekakan negara, membangunkan bangsa dan juga agama telah membawa ke satu tahap yang cukup membanggakan.
Bukan hanya dalam konteks pembangunan tetapi dalam konteks kematangan masyarakat juga telah memperlihatkan satu kejayaan yang cukup baik.
Saya melihat ini bukanlah untuk dijadikan sebagai satu alasan bagi kita mendabik dada atau berasa selesa dan sebagainya kerana semakin hari semakin mencabar samada dari segi kehidupan dari segi konteks pembangunan dalam dan luar negara.
Sebab itu saya melihat UMNO selama 70 tahun ini telah membawa pelbagai kejayaan seperti terbinanya jaringan dalam dan luar negara, pembangunan modal insan yang telah dilahirkan oleh UMNO itu sendiri dan memperlihatkan legasi pemimpin-pemimpin muda hari ini yang turut sama merasai nikmat dan sama-sama bertanggungjawab ke arah memakmurkan lagi segala perancangan, segala inspirasi dan aspirasi UMNO bagi mencapai kejayaan pada masa akan datang.
S: Soal solidariti dalam parti banyak ditekankan oleh pemimpin UMNO kerana kita harus menjaga institusi Presiden yang cuba dirosakkan oleh pembangkang. Dalam sayap Puteri sendiri bagaimana Datuk mahu menekankan solidariti dan menerapkan kesetiaan kepada parti?
J: Saya suka bila menekankan soal solidariti dan kesetiaan di dalam parti ini… mengambil contoh diri saya sendiri apabila berada dalam Puteri di usia awal … masih mentah dan tidak matang dan tidak mengerti apa itu erti politik yang sebenar, tetapi secara perlahan-lahan saya belajar dan antara ilmu yang diperolehi daripada orang lama dalam UMNO adalah kita perlu untuk mengikut arus, perlu untuk setia kepada pemimpin. Ilmu-ilmu ini bukan hanya membawa kepada kemakmuran di dalam parti tetapi membawa kepada satu perasaan kekeluargaan, perasaan muhibah dan juga rasa senang dan hormat-menghormati antara sesama ahli.
Ini penting kerana jika tidak ada soal kekeluargaan, soal hormat kepada pemimpin, tidak ada perasaan ‘bersama’ dalam keluarga UMNO, pasti susah untuk kita membawa suara akar umbi dan suara pemimpin untuk direalisasikan kepada konteks perlaksanaan kerja dan sebagainya.
Bagaimana untuk kita mengekalkan kemenangan sedia ada sekiranya antara kita pun tidak ada perasaan hormat-menghormati dan antara kita pun tidak setia. Ini semua tidak akan membawa kepada kemenangan malah akan membawa kepada kehancuran.
Pastinya, ramuan UMNO 70 tahun itu adalah disebabkan oleh kesetiaan iaitu taat dan setia kepada pemimpin dan juga parti serta saling menghormati sesama ahli…. Solidariti itu yang membawa kepada kejayaan UMNO.
S: Apakah harapan Datuk sendiri sebagai Ketua Pergerakan Puteri pada Perhimpunan Agung UMNO kali ini?
J: Ramai yang beranggapan ini adalah perhimpunan yang terakhir sebelum menjelangnya PRU-14, tetapi apapun persediaan perlulah dilakukan dan bukan hanya di peringkat nasional tetapi perlu dilakukan di peringkat akar umbi.
Ini kerana akar umbi di dalam dan luar bandarlah yang melakukan gerak kerja bersepadu… persiapan perlu dilakukan sekarang dan hari ini kita semakin sedar bahawa setiap undi itu penting. Kerana itulah hari ini kita lihat betapa meningkatnya mereka yang mendaftar sebagai pemilih.
Ini satu kejayaan yang cukup baik. Cuma, bagaimana kita mahu menjejaki undi mereka yang telah didaftarkan ini. Ini sangat penting kerana mana-manapun saya pergi, saya akan beritahu kepada ahli Puteri, jangan kita nilai dengan satu kali penolakan itu maka kita terus rasa rendah diri… Kita perlu ada jiwa besar dan terus berhubung dengan mereka ini supaya mereka sedar bahawa mereka ini penting serta sedar yang kita memang hendak bersama mereka. Sebab itu dalam perhimpunan kali ini saya menekankan antara salah satunya adalah untuk kita sama-sama mengambil semangat bagi bersiap sedia ke arah PRU.
Selain itu juga kita perlu bawakan suara wanita muda dari segi sosial dan ekonomi, bagaimana untuk mengupayakan ekonomi wanita muda sama ada di desa mahupun di bandar agar wanita muda boleh berjaya bukan sahaja di dalam negara malah di luar negara. – MediaUMNO