Minyak masak: 26,857 premis diperiksa di seluruh negara - KPDNKK

SEMENYIH, 10 NOV - Sebanyak 26, 857 premis diperiksa dan 78.82 tan metrik minyak masak bernilai RM181, 289 dirampas Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) di seluruh negara sejak 21 Oktober sehingga kelmarin.

Image result for minyak masak
Pengarah Penguat Kuasa KPDNKK Mohd Roslan Mahayudin berkata daripada kesemua premis yang diperiksa, pihaknya mengesan 30 kesalahan termasuk tujuh kes menyorok minyak masak.

"Selain itu, tujuh kes menjual minyak masak tanpa lesen dan enam kes gagal menyelenggara buku stok," katanya kepada pemberita selepas membuat pemeriksaan di pasar raya di sini, pada Rabu.

Dalam tempoh sama, sebanyak 362 aduan diterima dari seluruh negara dengan 213 daripadanya dapat diselesaikan dan 149 kes masih dalam siasatan.

Selangor mencatatkan jumlah aduan tertinggi iaitu sebanyak 99 aduan, diikuti Johor (54 aduan) dan Kuala Lumpur (32 aduan).

Pada 26 Oktober lepas, Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hamzah Zainudin mengumumkan bahawa harga minyak masak paket 1 kilogram kekal RM2.50 manakala minyak masak dalam botol dijual mengikut harga pasaran berkuat kuasa 1 November lepas.

Mohd Roslan berkata, orang ramai juga diminta menyalurkan maklumat sekiranya mengenal pasti mana-mana tempat yang menghadapi kekurangan bekalan minyak masak.

Dalam pada itu, beliau berkata Skim Kawalan Harga Musim Perayaan Deepavali yang dilaksanakan sejak 19 Oktober sehingga 1 November lepas berjalan lancar dengan 23, 876 pemerikssaan dijalankan terhadap premis perniagaan di seluruh negara dan sebanyak 119 tindakan undang-undang diambil bagi pelbagai kesalahan. -BERNAMA

Popular posts from this blog

CERGASKAN DIRIMU DI HARI SUKAN NEGARA 2016

3 Lagenda Malaysia Gegarkan Paralimpik Rio 2016