Agensi Pelancongan Perlu Miliki Lesen Khas Umrah

16 DEC 2016, PUTRAJAYA - Semua agensi pelancongan yang ingin mengendalikan pakej umrah perlu mempunyai lesen khas umrah bermula 1 Oktober tahun hadapan (2017) yang dikeluarkan Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan, kata Timbalan Menterinya Datuk Mas Ermieyati Samsudin. 

Image may contain: 1 person, sitting
Beliau berkata, tujuan pengenalan lesen khas tersebut adalah bertujuan untuk memantau dan mengelak kes penipuan umrah berulang lagi pada masa akan datang.

"Jika sebelum ini mana-mana syarikat yang menjalankan aktiviti pengendalian ibadah mahupun umrah hanya perlu mendapatkan lesen perjalanan ke luar negara (outbound) namun bermula Oktober tahun hadapan mereka perlu mendapatkan kedua-dua lesen iaitu lesen outbound dan lesen umrah" katanya.

Katanya, antara prasyarat untuk memperoleh lesen tersebut adalah para pengendali umrah perlu menjalani kursus pemantapan pengendali umrah (KPPU) yang dianjurkan oleh Kementerian selama dua hari.

"Kursus ini adalah wajib dan perlu dihadiri semua agensi pelancongan yang ingin menawarkan perkhidmatan pakej umrah dan sehingga kini 60 syarikat telah menjalani kursus tersebut," katanya dalam sidang media di Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan.

Mereka yang gagal mendapatkan lesen bakal dikenakan tindakan denda RM50, 000 atau penjara sehingga lima tahun termasuk berhadapan pembatalan lesen pelancongan di bawah Akta Industri Pelancongan 1992 Seksyen 5(2), katanya.

Menurut Mas Ermieyati, dianggarkan seramai 2,000 jemaah umrah telah terpedaya dengan kegiatan pakej umrah murah pada tahun ini, namun sehingga hari ini hanya satu aduan rasmi dibuat kepada kementeriannya.

Dalam pada itu, Mas Ermieyati memaklumkan bahawa harga siling pakej umrah ekonomi yang telah dipersetujui oleh anggota Majlis Kawal Selia Umrah bagi tempoh 12 hari 10 malam adalah sebanyak RM4, 900 untuk tahun ini.

Popular posts from this blog

3 Lagenda Malaysia Gegarkan Paralimpik Rio 2016

CERGASKAN DIRIMU DI HARI SUKAN NEGARA 2016