KENYATAAN AKHBAR Ketua Penerangan Pergerakan Puteri UMNO Malaysia
22 FEB 2017, KUALA LUMPUR: Kenyataan sidang akhbar (perkongsian daripada Saudari Haryaty Hamdzah, Ketua Penerangan Pergerakan Puteri UMNO Malaysia).
Haryaty Hamdzah. Ketua Penerangan Pergerakan Puteri UMNO Malaysia
1. Kabinet hari ini bersetuju melantik YBhg. Tan Sri Mohd Sidek Hassan, bekas Ketua Setiausaha Negara sebagai Pengerusi Task Force untuk menjalankan siasatan awal berkenaan kerugian urus niaga mata wang asing oleh Bank Negara Malaysia pada sekitar tahun 1990-an. Tan Sri Mohd Sidek berkhidmat dengan perkhidmatan awam selama 38 tahun termasuk 6 tahun sebagai KSN. Beliau berkelulusan Ijazah Sarjana Muda (Ekonomi) dalam Pentadbiran Awam dari Universiti Malaya dan Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan dari New Hampshire College, Amerika Syarikat.
2. Terma rujukan Task Force ini adalah untuk :
(a) menjalankan siasatan awal berkaitan kerugian Bank Negara Malaysia di dalam aktiviti spekulasi bagi urus niaga mata wang asing;
(b) sejauh mana terdapat tindakan menyembunyikan (cover up) maklumat kerugian tersebut dan mengkaji kalau ada perbuatan memberi kenyataan mengelirukan mengenainya di Mesyuarat Parlimen; dan
(c) mengemukakan syor-syor kepada Kerajaan mengenai tindakan susulan termasuk penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja, jika perlu berdasarkan hasil siasatan itu nanti.
3. Penetapan terma rujukan yang spesifik adalah penting sebagai langkah permulaan bagi mendapatkan fakta-fakta berkaitan termasuk menganalisis semua Penyata Rasmi Mesyuarat Parlimen pada masa itu, minit-minit Mesyuarat Jemaah Menteri terdahulu, Laporan Ketua Audit Negara, dokumen-dokumen Bank Negara Malaysia dan sebagainya.
4. Ahli-ahli Task Force yang lain akan diumumkan dalam masa yang terdekat, akan terdiri daripada mereka yang berpengalaman dan memiliki kepakaran tertentu untuk membantu melaksanakan tugas-tugas penemuan dan penzahiran dokumen-dokumen bagi mendapatkan fakta-fakta sebenar berkaitan urus niaga mata wang asing Bank Negara Malaysia ketika itu. Siasatan ini akan dijalankan secara telus, bebas dan adil sejajar dengan terma rujukan yang disebut di atas.
Pejabat Perdana Menteri 22 Februari 2017
sumber;Facebook Haryaty Hamdzah