Pakatan Apa Yang Akan Timbul Nanti?



KUALA LUMPUR: Sejarah membuktikan pakatan pembangkang tidak mampu bertahan lama dengan sembilan pakatan dibentuk sejak 1986, kata Datuk Seri Najib Razak.

Perdana Menteri berkata, ia termasuk Barisan Alternatif yang ditubuhkan pada 1998 tetapi dibubarkan pada tahun 2008 dan Pakatan Rakyat yang hidup sejak 2008 hingga 2015.

Katanya, semua pakatan itu terpaksa dibubarkan selepas beberapa tahun.

"Lucunya, pembangkang kini didatangi parti kecil baharu yang ingin menukar nama Pakatan Harapan. Pakatan apa pula yang akan timbul nanti?

"Konflik dalaman akan menyebabkan mereka tidak dapat menumpukan perhatian pada rakyat. Kerajaan yang diperintah mereka ini berpecah-belah dan boleh mengakibatkan ekonomi merudum.

"Kepimpinan yang tidak sehaluan akan mendorong Kabinet bertukar dengan kerap. Kesannya, kelangsungan perkhidmatan asas yang disediakan kerajaan akan terhenti atau tergugat," katanya menerusi blog rasminya, NajibRazak.com hari ini.

Di Selangor pula ketika ini, katanya keadaan politik tidak stabil sekiranya PAS atau DAP menarik diri daripada kerajaan negeri, manakala kedudukan Menteri Besar dan kerajaan negeri pasti terjejas.

"Bayangkan sekiranya perkara ini berlaku di peringkat Persekutuan. Untuk memastikan ekonomi membangun dan kebajikan rakyat terpelihara, kerajaan perlu dipimpin oleh gabungan parti yang kukuh, berpengalaman dan sehaluan.

"Kestabilan politik memainkan peranan penting dalam pembangunan sesebuah negara. Antara faktor yang menentukan kestabilan politik adalah kerjasama antara parti politik dalam gabungan parti yang memerintah," katanya. -BERITA HARIAN

Popular posts from this blog

3 Lagenda Malaysia Gegarkan Paralimpik Rio 2016

CERGASKAN DIRIMU DI HARI SUKAN NEGARA 2016