Tak ada gading yang tak retak - Mas Ermieyati Samsudin


SETELAH 16 tahun berlalu, Malaysia sekali lagi dipilih menjadi tuan rumah Sukan Sea 2017 Kuala Lumpur.  

Kemuncaknya, saya turut berada bersama rakyat Malaysia yang lain di dalam stadium bagi menyaksikan satu persembahan pembukaan acara sukan yang amat luar biasa gemilang pernah dianjurkan oleh negara-negara serantau.

Masakan tidak, sehingga hari ini media antarabangsa masih memuji setiap sudut-sudut persembahan yang jelas menunjukkan keharmonian pelbagai kaum dan budaya dibawa bersama sebagai warganegara Malaysia.


Syabas dan tahniah kepada Kementerian Belia dan Sukan serta jawatankuasa penganjur kerana sekali lagi melonjakkan nama negara dalam sukan terbesar di Asia Tenggara ini.

Tidak mudah untuk menjadi tuan rumah kepada acara yang besar, terakhir kali pada Sukan Sea 2001 dan tiga tahun sebelumnya Sukan Komanwel 1998.

Sudah tentu Malaysia selaku pencabar utama Asia Tenggara menjadi tumpuan bukan sahaja kerana pernah melahirkan ramai jaguh sukan bertaraf dunia tetapi juga berwibawa sebagai negara peneraju utama dalam kelompok negara-negara Asean yang lain.

Oleh sebab itu, setiap aspek perlu diambil kira bagi merencanakan pengalaman paling manis kepada seluruh kontinjen dan penonton yang hadir.

Inilah masanya juga buat seluruh rakyat Malaysia menterjemah sokongan tidak berbelah bagi kepada kontinjen negara agar sasaran 111 kilauan emas dapat digapai.

Bercakap soal imej, masyarakat Malaysia perlu menjadi ‘cermin’ dalam pelbagai aspek kepada negara-negara yang menyertai sukan kali ini. Paling utama, sikap hormat-menghormati antara penyokong pasukan bertanding perlu ada kerana ini akan membentuk semangat kesukanan yang tinggi mengatasi segala perbezaan yang nyata.

Penyatuan yang lebih jitu itu perlu dibuktikan melalui rakyat Malaysia sendiri kerana sebagai sebuah negara pelbagai kaum, agama dan budaya, kitalah titik pemula bagi menjadikan Sukan Sea kali ini sebagai acara sukan paling dikenang-kenang semua negara terlibat.

Saya yakin semangat kekitaan yang terbit sejak bebas dari penjajahan dahulu mendorong masyarakat menjadi role model terbaik kepada seluruh negara Asean dalam konteks ketinggian adab ketimuran.

Sikap toleransi atau tolak ansur bagi maksud dalam Kamus Dewan bukanlah membawa erti beransur kalah, apa yang hendak disampaikan adalah keterbukaan dalam perbezaan pendapat, fikiran dan kepercayaan.

Sebagai duta kecil di mata pelawat asing, masyarakat hendaklah mengambil contoh jaguh-jaguh rantau Asia yang lebih maju seperti Jepun, Korea Selatan, China dan sebagainya. Susuk-susuk ini telah menyemai benih-benih keperibadian yang tinggi kepada rakyatnya dalam mengharmonikan negara terutama dalam bertoleransi.

Media sosial miliki peranan penting dalam masyarakat saat ini. Dalam era serba moden, kita sentiasa dipapar pelbagai berita dan maklumat. Namun, jadilah pengguna bijak bagi menilai bahkan menyaring sebelum menyampai sesuatu.

Medium-medium seperti Facebook, Twitter, Instagram dan lain-lain hendaklah dimanfaatkan sebaik mungkin supaya tiada timbul suasana negatif.

Penuhi dinding media sosial dengan sisi-sisi keindahan serta kemeriahan Sukan Sea sebagaimana diimpikan jutaan rakyat Asean.  

Sebagai tuan rumah, wajarlah masyarakat menggalas tanggungjawab memurnikan nama negara di mana-mana hubung kait sosial.

Tuntas coretan, ayuh masyarakat mengambil peluang sebaik mungkin membawa budi ke darjat lebih tinggi.

Sementara Sukan Sea belum menutup tirai, masih belum terlambat untuk sama mengingati nilai murni yang pernah diturunkan orang terdahulu.

Walaupun ada segelintir yang cuba menggugat kemeriahan, usah diperbesar kerana ‘tak ada gading yang tak retak’.

Malah tidak menguntungkan mana-mana pihak seperti pepatah ‘kalah jadi abu, menang jadi arang’.

Sumber : SInar Harian


Popular posts from this blog

3 Lagenda Malaysia Gegarkan Paralimpik Rio 2016

CERGASKAN DIRIMU DI HARI SUKAN NEGARA 2016