Program Rasa Sayang suntik perpaduan - Mas Ermieyati Samsudin


KUALA LUMPUR: Keunikan makanan Malaysia memberi impak besar terhadap ekonomi pelancongan negara, termasuk menerusi penggunaan media sosial.
Timbalan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Mas Ermieyati Samsudin, berkata pelancongan makanan turut memanfaatkan pengusaha restoran dan kedai makan, sekali gus meningkatkan ekonomi penduduk tempatan.
"Kerancakan penggunaan media sosial ketika ini membolehkan kita melihat dan menikmati pelbagai jenis makanan yang mungkin tidak pernah ditemui," katanya berucap pada majlis perasmian Program Rasa Sayang sempena Sambutan Hari Kebangsaan ke-60 di sini, hari ini.
Program kerjasama penggerak seni tanah air, Kakiseni, dan pusat beli-belah Quill City Mall itu menampilkan 60 jenis makanan dari setiap negeri di Malaysia dalam konsep warung sebagai meraikan sambutan Hari Kebangsaan.
Pengarah Urusan Quill City Mall, Datuk AR Michael Ong, berkata program berkenaan adalah inisiatif menarik meluahkan perasaan cinta dan bangga sebagai rakyat Malaysia.
"Program ini diharap menyatukan rakyat Malaysia berbilang kaum dan agama untuk menghayati makna kemerdekaan terutama warga kota yang sibuk dengan kehidupan seharian.
"Penganjuran program bertujuan merapatkan silaturahim dan mencapai objektif perpaduan sesama kita," katanya.
Sementara itu, Presiden Kakiseni, Low Ngai Yuen, berkata program itu berupaya menyemarakkan sambutan Hari Kebangsaan dan memperluas serta memperkukuh semangat kekitaan, saling memahami dan menghormati dalam kalangan rakyat Malaysia.
"Kita melaksanakan program ini supaya orang ramai dapat menghayati keunikan Malaysia selain menghayati makna sebenar kemerdekaan," katanya.
Orang ramai turut berpeluang memenangi baucar beli-belah berjumlah RM8,000 dengan menyertai pertandingan 'Cook for Malaysia'.

Sumber : BH

Popular posts from this blog

3 Lagenda Malaysia Gegarkan Paralimpik Rio 2016

CERGASKAN DIRIMU DI HARI SUKAN NEGARA 2016