Berhati-Hati Beli Produk Kosmetik di Internet - Dr Hilmi

GEORGE TOWN: Kementerian Kesihatan menggesa pengguna kosmetik agar lebih berhati-hati sebelum membeli kosmetik terutama dalam talian.

Image result for dr hilmi kkm
Timbalan Menterinya, Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya berkata setiap item yang mendapat pengesahan kementerian mempunyai pelekat hologram yang boleh dikesan oleh pengimbas pada pembungkusnya.

Setiap kedai mempunyai mesin pengimbas dan pembeli boleh memeriksa produk itu. Jika hologram tidak kelihatan, ia bermakna item itu tidak mendapat kelulusan kementerian.

"Saya harap orang ramai berhati-hati kerana penjualan kosmetik palsu melalui internet semakin meningkat," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Baru-baru ini, sekeping gambar wajah wanita yang mukanya mempunyai kesan terbakar selepas menggunakan kosmetik yang dibeli dalam talian, viral di media sosial, mencetuskan kebimbangan terhadap keselamatan produk kosmetik yang dibeli dalam talian.

Susulan insiden itu, Kementerian Kesihatan melarang penjualan 10 produk kosmetik yang dikesan mengandungi racun berjadual yang tidak dibenarkan dalam produk kosmetik iaitu 
  1. Melan: Off Intensive Mask
  2. Mela: Off Cream
  3. Afrina Daily Cream
  4. Krim Herba Kemboja
  5. Day Pinky Cream
  6. Night Glow Cream
  7. Debella Nadien Glow Night Cream
  8. Mekar Semilu Scrub Muka
  9. Mutiara Beauty Collection
  10. Mekar Semilu Cream Mekarsutra
Semua produk kosmetik yang diharamkan itu telah diberi notis untuk ditarik balik dari pasaran dalam tempoh 72 jam dan kes itu disiasat mengikut Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.

"Berhati-hati, pastikan produk itu dijamin selamat oleh Kementerian Kesihatan sebelum membelinya," kata Dr Hilmi.

Sementara itu, beliau menafikan dakwaan bahawa  hospital kekurangan reagen berikutan bajet yang berkurangan dan orang ramai agar tidak panik berhubung dengan dakwaan itu yang disebarkan di media sosial.

"Ia adalah tidak benar. Kementerian mempunyai peruntukan yang mencukupi dan jika hospital memerlukan lebih reagen, pihak atasan boleh mengemukakan permohonan. Kami akan meluluskannya. Perkara itu tidak perlu dibimbangkan," katanya.

Bagi penyebaran virus Zika, Dr Hilmi berkata ia masih lagi menjadi keutamaan negara, tetapi buat masa ini tiada kes baharu direkodkan.

"Kami sentiasa memantau situasi itu dan pemeriksaan berkala masih dijalankan di semua pintu masuk," katanya.

Terdahulu, Dr Hilmi menyumbangkan RM20,000 kepada MIC Bahagian Balik Pulau sebagai bantuan untuk diserahkan kepada 19 keluarga bagi persediaan menyambut Deepavali. - AWANI

Popular posts from this blog

CERGASKAN DIRIMU DI HARI SUKAN NEGARA 2016

3 Lagenda Malaysia Gegarkan Paralimpik Rio 2016