Ke Mana Arah Tuju #politiktoksik? - Mas Ermieyati Samsudin


1) Mengulas isu yang diperjuangkan aktivis pihak pembangkang dalam Perarakan Ungu dengan slogan ‘Wanita Bantah Politik Toksik’ di Kuala Lumpur semalam, saya berpendapat bahawa isu yang dibawa dalam demonstrasi tersebut adalah dangkal serta tidak mencerminkan situasi sebenar yang berlaku dalam persekitaran politik Malaysia.

2) Saya cuba memahami setiap laungan-laungan yang dilontar aktivis dalam perarakan tersebut seperti menggesa menghentikan keganasan politik terhadap wanita, menuntut pertuturan beradab tanpa unsur-unsur seksis atau rasis serta mendukung keluhuran perlembagaan dalam institusi kerajaan.

3) Namun, apa yang dilaungkan mereka hanyalah retorik semata kerana semua isu yang ditimbulkan itu telah ditangani dengan baik oleh kerajaan pimpinan YAB Perdana Menteri dari semasa ke semasa.

4) Persoalan saya di sini, adakah Maria Chin lupa bahawa tindakan kerajaan memansuhkan ISA adalah satu tindakan bersifar demokratik bagi membenarkan orang awam menyuarakan pendapat atau sudut pandang yang lebih terbuka tanpa adanya perasaan takut ditangkap oleh pihak berkuasa?

5) Dr. Siti Hasmah juga dalam ucapannya mengecam tindakan individu yang menampar David Teo tidak dikenakan apa-apa tindakan dan membandingkan sekiranya situasi tersebut berlaku sewaktu era pentadbiran terdahulu. Jangan dilupa sewaktu Akta ISA masih wujud di bawah kepimpinan suami beliau, kita dapat melihat betapa ramai mulut terkunci kerana tidak boleh berbuat apa-apa disebabkan tidak adanya semangat demokrasi yang subur dalam suasana masyarakat majmuk di negara kita.

6) Dalam suasana politik yang pelbagai selera di negara kita, kerajaan telah melakukan pelbagai penambahbaikan dari sudut perundangan bagi memastikan demokrasi terus subur selaras dengan perlembagaan persekutuan.

7) Memetik kata-kata Teresa Kok sebagai mangsa kepada politik kotor kerana pernah ditahan ISA kerana didakwa melarang azan di sebuah masjid, adakah beliau bermaksud politik toksik itu telah bermula sejak era pentadbiran Mahathir?

8) Apa jua yang berlaku sepanjang Perarakan Ungu tersebut, saya cuma ingin bertanya adakah aktivis-aktivis ini terlupa bahawasanya situasi yang berlaku di Pulau Pinang baru-baru ini melibatkan seorang ADUN Wanita di pihak pembangkang telah dibuli dan dicerca oleh ahli-ahli Dewan Negeri kerana mempertahankan nasib penduduk di kawasan beliau. 

9) Perkara yang berlaku ini adalah sesuatu yang lebih memalukan golongan wanita secara keseluruhannya dan perlu ditangani terlebih dahulu sebelum mahu bertindak mewakili rakyat Malaysia dalam membuat bantahan umum.

10) Saya mahu rakyat di luar sana menilai adakah tindakan berarak di atas jalan raya bagi menzahirkan perjuangan 'wanita bantah politik toksik' ini selari dengan tindakan pihak pembangkang menyelesaikan kemelut melibatkan golongan wanita selama ini.

11) Kesangsian yang wujud di dalam minda saya berhubung hala tuju wanita yang mahu digerakkan dalam perarakan ini pastinya dikongsi bersama seluruh rakyat Malaysia. 

12) Persoalan yang masih jelas, adakah mereka mahu kerajaan mewujudkan semula ISA atau membuat akta baru bagi menyelesaikan isu Politik Toksik yang dibawa?

YB Datuk Mas Ermieyati Samsudin
Ketua Pergerakan Puteri UMNO Malaysia
Perhimpunan Agung UNWTO, Chengdu, China
11 September 2017

Popular posts from this blog

3 Lagenda Malaysia Gegarkan Paralimpik Rio 2016

CERGASKAN DIRIMU DI HARI SUKAN NEGARA 2016