Majlis Menandatangani Perjanjian di antara Kerajaan Malaysia dan UNWTO

1) Pada hari ini bersamaan 14 September 2017, saya telah menandatangani satu perjanjian di antara Kerajaan Malaysia dan TYT Dr. Taleb Rifai, Setiausaha Agung UNWTO bersempena Perhimpunan Agung UNWTO ke-22 yang diadakan pada 11-16 September 2017 di Chengdu, China.


2) Perjanjian yang termeterai ini sekaligus menyaksikan Kuala Lumpur bakal menjadi tuan rumah pertama di rantau Asia bagi penganjuran persidangan Global Summit on Urban Tourism (GSUT) ke-6 yang akan diadakan pada 4-6 Disember 2017.

3) Persidangan melibatkan negara-negara anggota UNWTO bertemakan 'Sustainable & Competitive Tourism on the New Urban Agenda' yang akan berlangsung Disember ini adalah hasil mesyuarat dua hala UNWTO bersama YB Menteri Pelancongan & Kebudayaan Malaysia pada 17 Oktober 2016 sempena penganjuran WTC 2016 yang lalu.


4) Justeru, saya menzahirkan penghargaan yang tidak terhingga kepada UNWTO kerana memilih Malaysia sebagai destinasi persidangan kali ini. Kuala Lumpur sekali lagi akan menjadi tumpuan peneraju-peneraju utama sektor pelancongan, penggubal-penggubal polisi serta pakar-pakar dari sektor awam dan swasta dari seluruh dunia untuk berkongsi pengalaman, mencambah idea-idea serta mencadangkan hala tuju dan visi bagi membangunkan pelancongan secara lestari(Sustainable Urban City Tourism), bandar pintar serta perancangan bandar untuk masa hadapan.

5) Saya yakin persidangan ini akan mampu menarik minat organisasi-organisasi pelancongan di peringkat nasional, serantau, tempatan dan antarabangsa. Saya difahamkan seramai 800 orang peserta dari dalam dan luar negara dijangka akan menyertai persidangan ini.

6) Saya percaya persidangan antarabangsa GSUT ini bukan sahaja dapat mempromosikan Malaysia sebagai salah satu destinasi utama MICE (Meetings, Incentives, Conventions & Exhibition) bertaraf dunia, malah penganjuran ini juga turut memperlihatkan peranan proaktif serta komitmen Malaysia dalam arena pelancongan global selaras dengan usaha kerajaan untuk menarik lebih ramai pelancong antarabangsa.

YB Datuk Mas Ermieyati Samsudin
Timbalan Menteri Pelancongan & Kebudayaan
Perhimpunan Agung UNWTO, Chengdu, China
14 September 2017

Popular posts from this blog

3 Lagenda Malaysia Gegarkan Paralimpik Rio 2016

CERGASKAN DIRIMU DI HARI SUKAN NEGARA 2016