Wanita Muda Usah Pesimis Terhadap Pelaburan Saham & Hartanah - Mas Ermieyati Samsudin


1) Apabila membaca perkongsian sebagaimana di dalam Utusan Malaysia semalam berkenaan Simposium Saham Utusan 2017, saya berasa terpanggil untuk mengajak wanita Malaysia bersama-sama melihat potensi yang ada di dalam dunia pelaburan saham. Walaupun bidang ini amat sinonim dengan golongan lelaki, usahawan muda terutamanya golongan wanita muda perlu didedahkan dengan ilmu saham bagi meningkatkan penyertaan mereka dalam bidang pelaburan saham serta hartanah.

2) Wanita muda hari ini seharusnya tidak bersikap pesimis terhadap pandangan umum tentang kerugian yang bakal dialami sekiranya melibatkan diri dalam perniagaan ini. 

3) Hal ini kerana terdapat potensi besar untuk menjana pendapatan melalui pelaburan saham dan hartanah atas faktor risiko kerugiannya yang rendah serta dijamin selamat di bawah seliaan Suruhanjaya Sekuriti.

4) Justeru, saya ingin mengajak seluruh usahawan muda terutamanya di kalangan golongan wanita muda dari pelbagai latar belakang untuk mempelajari ilmu pelaburan dalam dunia saham dan hartanah atas faktor seperti berikut:

- Perniagaan seperti ini tidak melibatkan orang ramai. Oleh itu, pelabur boleh membuat tindakan sendirian tanpa mempunyai ikatan atau hubungan dengan mana-mana pihak.

- Perniagaan ini juga boleh dijadikan sebagai batu loncatan kepada pelabur sekiranya masih tercari-cari bidang perniagaan yang ingin diceburi atau sebagai suatu fasa pembelajaran kepada pelabur sekiranya takut untuk memulakan perniagaan sendiri.

- Saya juga yakin dengan khidmat ‘Dealer’ (pedagang) atau ‘Remisier’ (penjual-beli saham bagi pihak klien) saham yang ada di luar sana boleh membantu pelabur membuat pesanan jual beli saham sekiranya tidak mahir berurusniaga saham di atas talian.

- Dalam konteks kebergantungan kehidupan sosial, perniagaan seperti ini dapat membantu pelabur meneruskan kehidupan dengan lebih baik jika ketiadaan suami disebabkan kematian atau perceraian.

- Istimewanya perniagaan ini adalah kerana ianya tidak menghadkan tempoh masa tertentu sekaligus membolehkan pelabur mengurus keluarga seperti biasa. 

5) Oleh demikian, saya berharap agar lebih ramai wanita dapat menceburkan diri dalam bidang pelaburan seperti ini supaya doktrin pemerkasaan wanita dapat diterjemahkan dalam konteks perniagaan selaras aspirasi Transformasi Nasional 2050.

6) Jadikan kejayaan tokoh broker saham wanita terkemuka negara, Datuk Mohaiyani Shamsuddin, Pengerusi Maybank kini sebagai inspirasi kepada seluruh wanita muda khususnya untuk melibatkan diri dalam dunia pelaburan saham & hartanah dengan lebih serius sekaligus memecah dominasi golongan lelaki dalam perniagaan ini.

11 September 2017
YB Datuk Mas Ermieyati Samsudin
Ketua Pergerakan Puteri UMNO Malaysia                        

Popular posts from this blog

3 Lagenda Malaysia Gegarkan Paralimpik Rio 2016

CERGASKAN DIRIMU DI HARI SUKAN NEGARA 2016