PPBM tidak mampu bertahan - Mas Ermieyati

MELAKA: Puteri UMNO yakin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang baru berusia setahun itu tidak mampu "belayar" lebih jauh ekoran daripada pergolakan dalaman yang melanda parti itu ketika ini.

Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata ia terbukti apabila beberapa pengasas serta pemimpin kanan PPBM bertindak keluar parti kerana perjuangannya yang dilihat sudah jauh tersasar daripada tujuan asal penubuhannya.
Tambah beliau dengan sikap pemimpin utamanya yang tidak ikhlas dan lebih mengutamakan kepentingan peribadi, tidak membolehkan parti itu memperjuangkan nasib rakyat, seperti mana dilakukan UMNO dan parti komponen Barisan Nasional (BN) ketika ini.
"Tindakan Kak Midah (Naib Presiden PPBM, Datuk Hamidah Osman) dan Anina (pengasas PPBM, Anina Saadudin) memang sudah diduga kerana parti itu tidak pernah pun berjuang untuk kepentingan ahli dan rakyat, malah lebih kepada peribadi serta kroni.
"Dengan suasana ini, saya yakin PPBM tidak akan kekal lama dan kita bakal menyaksikan satu demi satu pemimpin mereka meninggalkan parti. Saya jangka akan lebih ramai mengikut jejak Hamidah dan Anina untuk keluar parti," katanya kepada BH, malam ini.
Semalam, Anina mengumumkan keluar parti selepas mendakwa PPBM tidak lagi menepati prinsip perjuangan ketika diasaskan tahun lalu, sebaliknya berasa diperalatkan untuk kepentingan politik individu tertentu dan berlandaskan dasar kronisme.
Menyusul selepas itu, Hamidah pula mengambil tindakan sama dan ia disahkan Setiausaha Agung PPBM, Datuk Dr Shahruddin Md Salleh.
Mengulas lanjut, Mas Ermieyati yang juga Timbalan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, berharap Hamidah dan Anina tidak menyesal dan bersedih kerana terpaksa bergelumang dengan kelompok pemimpin yang tidak ikhlas serta berjuang berasaskan dendam.
"Jangan bersedih dan berduka kerana 'kapal' yang anda sendiri bina dan ukir reka bentuknya belum sempat untuk belayar jauh, ia kini berada dalam tangan pemimpin yang bakal menghancurkan asas pembinaan kapal terbabit.
"Bersyukurlah kerana anda antara berpuluh pemimpin PPBM yang sedar awal daripada terjebak dalam kancah politik dendam PPBM," katanya.
Sumber : BH


Popular posts from this blog

3 Lagenda Malaysia Gegarkan Paralimpik Rio 2016

CERGASKAN DIRIMU DI HARI SUKAN NEGARA 2016