SIASATAN OLEH JABATAN KEADILAN: Apa Agenda Amerika Syarikat?



Ada segelintir di kalangan rakyat Malaysia yang beranggapan dengan bermulanya siasatan Jabatan Keadilan Amerika Syarikat terhadap beberapa individu yang dikaitkan dengan Malaysia, 1MDB dan ‘Malaysian Official 1’, maka bakal terbongkarlah segala penyelewengan dan korupsi yang selama ini ditutup oleh pihak pemerintah.

Tatkala penulis membaca kenyataan media Peguam Negara Amerika Syarikat, penulis berpendapat bahawa siasatan tersebut tidak mempunyai sebarang kaitan langsung dengan 1MDB, Malaysia atau YAB Perdana Menteri. Ia hanya melibatkan beberapa orang penama yang disyaki mengumpulkan kekayaan dengan cara yang tidak sah mengikut undang-undang Amerika Syarikat.

Tidak ramai yang tertanya-tanya mengapa Jabatan Keadilan Amerika Syarikat begitu berminat dengan siasatan ini meski pun mereka mengakui siasatan mereka adalah berdasarkan kepada laporan-laporan dari seorang rakyat Malaysia yang mempunyai agenda tertentu serta memetik sumber-sumber laporan dari portal-portal yang dikenali sebagai agen memburuk-burukkan Malaysia dan negara-negara lain yang tidak sealiran dengan pendirian negara polis dunia tersebut.

Ramai di kalangan rakyat Malaysia yang mungkin sudah lupa bagaimana Amerika Syarikat begitu berminat untuk menjadi antara negara yang mengawal perairan Selat Melaka suatu ketika dahulu. Apakah tentera laut Malaysia dan Indonesia tidak mampu melakukannya atau negara úncle Sam’ tersebut mempunyai agenda tersirat yang hanya mereka sahaja yang mengetahuinya?

Demikian juga ketika tragedi MH370 di mana pihak tentera laut Amerika begitu pantas menghantar sejumlah kapal perang tercanggih mereka di Laut China Selatan demi operasi ‘Search and Rescue’. Dan kapal-kapal perang Amerika tersebut berundur apabila pihak negara China mengerahkan pula kapal perang terbaik mereka meronda di Laut China Selatan. Apakah operasi mencari dan menyelamat tersebut benar-benar memerlukan ketumbukan ketenteraan yang sangat besar demi operasi mencari dan menyelamat di peringkat awal?

Selepas berpecah dan tumbangnya United Soviet Socialist Russia (USSR) dan berakhirnya era perang dingin, Amerika Syarikat muncul sebagai kuasa tunggal dunia dengan New World Order (NWO) mereka. Dan Malaysia antara negara yang sangat berhati-hati serta berusaha keras menangkis pelbagai ideologi dan impak yang dihasilkan dari NWO serta dasar luar negara Amerika Syarikat.

Sehingga kini, atas kebijaksanaan kepimpinan negara, Malaysia masih belum terjajah dengan agenda-agenda globalisasi, TPPA, liberalism, pluralism, kebebasan bersuara dan hak samarata versi Barat meski pun kita tidak menafikan ada segelintir kecil rakyat kita yang membawa agenda mereka dan berusaha mempengaruhi majoriti yang masih mendokong tinggi nilai-nilai ketimuran, Perlembagaan dan Rukun Negara.

Jika pada 1998, kepimpinan negara diserang secara terang-terangan oleh Naib Presiden Amerika Syarikat, al-Gore dengan laungan reformasi dan gerakan menghasut rakyat begitu agresif dilaksanakan oleh pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan parti-parti politik, senario kini tidak jauh bezanya dengan situasi ketika itu.

Jika dua dekad yang lalu menyaksikan kekecewaan seorang pemimpin merebut takhta kepimpinan negara dan menjemput pemimpin sebuah negara asing mencampuri urusan dalaman negara, maka senario kini pula menyaksikan seorang rakyat Malaysia yang juga kecewa, mengundang campurtangan kuasa besar dengan membuat laporan yang tidak benar tentang negaranya sendiri.

Tiba-tiba penulis teringat bagaimana Iraq digambarkan memiliki senjata pemusnah besar-besaran (WMD) oleh rakyat negara itu yang menjadi agen dan talibarut kepada kuasa besar dunia. Hampir setiap hari media massa pro zionis Barat akan menghidangkan kisah-kisah yang memualkan dan menakutkan dunia bahawa Iraq merupakan ancaman terbaru mereka dengan senjata pemusnah besar-besaran.

Pelbagai bukti, dokumen, satelit, peta dan lokasi loji senjata pemusnah besar-besaran Iraq dimainkan oleh media massa mereka dan jarum halus dicucuk serta ugutan digunapakai terhadap negara-negara yang enggan menyertai atau bersekutu dengan Amerika Syarikat menyerang Iraq.

Setelah 13 tahun tumbangnya Iraq, rakyat negara tersebut masih lagi menderita akibat peperangan yang disertai oleh 29 buah negara terhadapnya dan senjata pemusnah besar-besaran masih belum ditemui meski pun Presidennya, Saddam Hussein sudah dihukum gantung menjelang hari kemuliaan dan kebesaran umat Islam.

Berbalik kepada persoalan mengapa Jabatan Keadilan Amerika Syarikat begitu berminat untuk menyiasat isu yang tidak mempunyai asas kukuh untuk sebuah siasatan? Apakah ia suatu permulaan kepada Amerika Syarikat untuk menekan negara kita yang dilihat begitu intim menjalinkan hubungan baik dengan musuh Amerika Syarikat seperti Russia dan China?

Rakyat Malaysia yang matang dan rasional sudah pasti dapat menjawabnya. Tetapi penulis tidak berminat untuk mengupas persoalan tersebut buat masa ini.

Penulis sekadar mahu mengajak pembaca berfikir sejenak di manakah nilai patriotisme bagi seorang rakyat Malaysia yang berusaha keras mengundang campurtangan kuasa asing terhadap negaranya sendiri.

Wajarkah KEDAULATAN NEGARA menjadi taruhan dengan menjemput kuasa asing akibat dari perbezaan pandangan mentadbir dan mengurus negara? Sama-samalah kita fikirkan.

Sumber: Friends of Kedaulatan

Popular posts from this blog

3 Lagenda Malaysia Gegarkan Paralimpik Rio 2016

CERGASKAN DIRIMU DI HARI SUKAN NEGARA 2016