Kabinet lulus Skim Insurans Kelompok JKKK/JKKKP/JKKKOA

Foto : Bernama

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak mahu ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), JKKK Persekutuan (JKKKP) dan JKKK Orang Asli (JKKKOA) meningkatkan peranan sebagai pemimpin akar umbi bagi memastikan institusi itu memacu pembangunan selaras pelaksanaan Transformasi Nasional 2050 (TN50)
Perdana Menteri berkata, peranan pemimpin peringkat akar umbi hari ini semakin kompleks, antaranya perlu merasai denyut nadi, kehendak dan aspirasi rakyat supaya ia dapat diterjemahkan dalam bentuk tindakan, sekali gus memenuhi tanggungjawab kerajaan dalam melaksanakan pembangunan setempat.
Katanya, pemimpin JKKK/JKKKP/JKKKOA juga berperanan untuk memperbetulkan persepsi rakyat yang kini berdepan peperangan persepsi, bukannya peperangan realiti dalam dunia politik hari ini.
"Bila kita ada pembangkang yang suka menyelewengkan fakta ataupun main senjata persepsi sehinggakan yang tidak betul menjadi betul, yang batil menjadi benar dan kita selalunya menjadi mangsa kepada permainan seperti itu.
Majlis yang mengumpulkan lebih 10,000 JKKK/JKKKP/JKKKOA seluruh negara turut dihadiri Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob serta Presiden Gabungan Persatuan Ketua Kampung, Datuk Shahaimi Othman.
Sementara itu, Perdana Menteri mengumumkan Skim Insurans Kelompok kepada 265,000 ahli JKKK/JKKKP/JKKKOA yang diluluskan Kabinet minggu lalu berkuat kuasa Januari 2018.
Najib berkata, di bawah skim itu, kerajaan akan membayar RM10, manakala ahli JKKK/JKKKP/JKKKOA perlu membayar RM7 setahun yang antara lain bakal memperoleh faedah kematian akibat kemalangan RM5,000, manakala kematian biasa RM2,500.
Katanya, Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah turut mengeluarkan kad identiti JKKK/JKKKP/JKKKOA yang memberikan faedah diskaun bagi pembelian produk pertanian, penginapan, makan minum di hotel dan resort tertentu
Najib turut menyampaikan Anugerah Desa Perdana 2017 peringkat kebangsaan kepada pemenang tiga kategori iaitu kategori Kampung Tradisional, Kampung Orang Asli dan Rumah Panjang.
Terdahulu, Timbalan Presiden Gabungan Persatuan Ketua Kampung, Zubir Jamal memimpin bacaan ikrar sebelum menyerahkan skrol taat setia kepada Perdana Menteri.
Pada majlis itu juga, seramai 15 wakil peserta Sijil Tadbir Urus Desa daripada 3,000 orang dalam kalangan JKKK, JKKKP menerima sijil program kerjasama Institut Kemajuan Desa (INFRA) dan Universiti Kuala Lumpur (UniKL).

Sumber : BH


Popular posts from this blog

3 Lagenda Malaysia Gegarkan Paralimpik Rio 2016

CERGASKAN DIRIMU DI HARI SUKAN NEGARA 2016