Puteri jangan fokus kejar jawatan : Mas Ermieyati


HULU TERENGGANU - Ahli Puteri Umno seluruh negara diingatkan supaya tidak terlalu berfikir tentang pemilihan parti buat masa ini sebaliknya perlu memberi fokus untuk berhadapan dengan PRU14 yang dikatakan sebagai ibu segala PRU.

Ketuanya, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, tiada maknanya menang pemilihan berkenaan sekiranya Umno dan BN mengalami kekalahan dalam PRU, apatah lagi pemilihan parti hanya diadakan selepas pilihan raya.

"Kalau kita menang parti, kita tiada kuas a(untuk tadbir negara) hendak buat apa?. Jadi, yang paling utama sekarang ini ialah kita hendak berhadapan dengan PRU dulu dan sebab itu diingatkan sesiapapun ahli-ahli Puteri jangan terlalu fikirkan pemilihan parti lagi.

"Teringin tidak mengapa tetapi janganlah didahulukan kepentingan mengejar jawatan dalam parti itu dijadikan keutamaan buat masa ini sehingga jejaskan tumpuan terhadap persiapan untuk menang pilihan raya.

"Diingatkan juga sesiapa pun dipilih sebagai calon nanti, kita mesti hormat, walaupun orang baharu, orang lama berpendidikan atau berpengalaman atau tidak. Itu kita letakkan pada pucuk pimpinan tertinggi tentukan, yang sudah tentu ada kaedah untuk memilih calon.

"Jadi bukan soal kita bukan tugas kita mempersoalkan calon yang dipilih. Janganlah pula berlakunya cah keting sekiranya sesiapa dicalonkan. Paling utama ialah kita hendak terus menang PRU dan begitu juga bagi keempat-empat kerusi Dun dan Parlimen Hulu Terengganu ini, katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Perwakilan Pergerakan Puteri Umno Hulu Terengganu 2017 dan Majlis Sambutan Hari Raya Puteri Umno Hulu Terengganu, di Dewan Majlis Daerah Hulu Terengganu, di sini, hari ini.

Mesyuarat agung disertai kira-kira 600 perwakilan itu turut dihadiri Ketua Umno Bahagian Hulu Terengganu yang Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Datuk Jailani Johari dan Ketua Puteri Umno Hulu Terengganu, Rozita Ismail.

Sumber : Sinar Harian

Popular posts from this blog

CERGASKAN DIRIMU DI HARI SUKAN NEGARA 2016

3 Lagenda Malaysia Gegarkan Paralimpik Rio 2016