Sembilan bawa Jalur Gemilang ke Gunung Pembunuh


SEPANG: Sembilan pendaki Malaysia akan membawa Jalur Gemilang ke Kem Pangkalan Gunung K2, Pakistan atau lebih dikenali sebagai 'Gunung Pembunuh', sempena meraikan sambutan Hari Kebangsaan ke-60 tahun ini.

Ekspedisi anjuran Malaysia Backpakers (MBP) itu akan melakukan pendakian selama 17 hari untuk membawa Jalur Gemilang ke Kem Induk Gunung K2 dan Puncak Gondorogo-La, masing-masing dengan ketinggian 5,650 meter dan 5,585 meter dari aras laut.
Sembilan pendaki itu juga akan melaksanakan kegiatan tanggungjawab sosial dengan memberi sumbangan peralatan sekolah kepada murid di kawasan pergunungan berkenaan.
Timbalan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Mas Ermieyati Samsudin, berkata ekspedisi itu mencerminkan semangat rakyat Malaysia yang berani untuk melaksanakan pendakian ke pergunungan yang terkenal dengan kesukarannya.
"Ekspedisi ini bukan satu pendakian yang mudah kerana memerlukan semangat yang kuat dan ketahanan fizikal untuk menempuh cabaran jauh berbeza daripada gunung lain.
"Malah, kegiatan tanggungjawab sosial yang akan dilakukan adalah usaha positif kerana ia dapat mengeratkan hubungan diplomatik antara Malaysia dan Pakistan," katanya ketika ditemui pada Majlis Pelepasan dan Penyerahan Bendera XPDC Merdeka Day di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini hari ini.
Pada majlis itu, Mas Ermieyati turut menyampaikan cenderamata kepada Harian Metro, selaku media rasmi yang diwakili Pengarang Bersekutu (Rencana) Harian Metro, Husain Jahit.
XPDC Merdeka Day yang diketuai oleh Nor Afende Aminudin itu turut disertai seorang wartawan Harian Metro, Hafiz Ithnin bersama tujuh peserta lain iaitu Zuraila Abd Jalal, Mohd Izzat Mohd Zin, Muhammad Azham Ab Hamid, Maznah Baba, Khairul Nizam Minhat, Muhammad Eddy Muhamadin serta Muhammad Hakim Daud.

Sumber : Berita Harian

Popular posts from this blog

3 Lagenda Malaysia Gegarkan Paralimpik Rio 2016

CERGASKAN DIRIMU DI HARI SUKAN NEGARA 2016