Ahli UMNO Perlu Ada ‘Winning Mentality’ – Khairy

PUTRAJAYA, 2 Ogos – Ketua Pemuda UMNO Malaysia, Khairy Jamaluddin berkata bahawa ahli-ahli UMNO perlu ada ‘Winning Mentality’ untuk terus memberikan keyakinan kepada rakyat bahawa UMNO masih tetap utuh dan unggul sebagai sebuah parti orang Melayu yang memperjuangkan agenda Islam, bangsa dan juga tanahir di negara ini.

Menurut beliau, setiap ahli UMNO di negara ini perlu ada keyakinan diri bahawa segala isu dan permasalahan yang sedang melanda UMNO hari ini akan selesai dan UMNO mampu pulih seratus peratus untuk menghadapi pilihanraya umum yang akan datang.
“Kalau kita sendiri sebagai orang UMNO tidak yakin terutama bila kita bercakap dengan orang lain, di dalam facebook atau dalam whatsapp, kita sendiri kata susah nak menang dalam PRU yang akan datang, ini bermakna kita sendiri tidak ada keyakinan diri.
“Orang luar yang bukan ahli UMNO, mereka ini akan membawa cerita bahawa orang UMNO sendiri mengatakan tidak boleh menang dalam PRU yang akan datang, maka mereka akan guna sentimen ini bahawa orang UMNO sendiri tak yakin boleh menang, maka tak payah kita berikan sokongan kepada mereka.
“Sebab itu, dalam situasi politik hari ini saya berpandangan bahawa ahli UMNO perlu ada winning mentality. Bila kita ada winning mentality, barulah kita dapat beri keyakinan kepada orang ramai. Bukan kita nak over confident. Tetapi kalau kita teruskan kerja kita, kalau kita terus berikan khidmat yang terbaik buat rakyat, insyaAllah rakyat akan beri mandat kepada kita,” jelasnya.
Beliau berkata demikian dalam ucapannya di perasmian persidangan bahagian sayap wanita, pemuda dan puteri UMNO bahagian Putrajaya bertempat di Dewan Perbadan Putrajaya di sini, Isnin malam.

 

Selain winning mentality, beliau juga menegaskan bahawa ahli-ahli UMNO juga perlu punyai keberanian untuk berdepan dengan keadaan politik yang sangat-sangat mencabar hari ini.
“Yang keluar parti hari ini bukan calang-calang orang. Mereka yang keluar parti hari ini adalah nama-nama yang besar. Yang keluar parti hari ini ialah Timbalan Presiden UMNO, Naib Presiden UMNO, bekas Menteri Besar dan mantan Presiden kita sendiri.
“Hari ini bekas pimpinan UMNO yang keluar parti kata mereka akan tentang kita habis-habisan. Mereka tubuh parti baru untuk menarik minat dan sokongan pengundi-pengundi yang selama ini bersama UMNO untuk bersama-sama mereka dan pembangkang. Ini merupakan cabaran secara langsung terhadap perjuangan kita.
“Jadi dalam menghadapi situasi kita sebagai ahli-ahli UMNO tidak boleh lagi leka. Kita kena bangkit kerana yang akan berdepan dengan kita bukanlah kecil-kecil anak. Mereka ini nama besar di dalam gelanggang politik negara kita. Orang-orang inilah yang ingin memusnahkan perjuangan UMNO. Sebab itu wanita, pemuda dan puteri perlu bangkit untuk mempertahankan perjuangan kita di dalam UMNO,” tegas beliau.
Beliau juga yakin dan percaya bahawa sekiranya ahli UMNO bersatu padu dalam mempertahankan parti, maka UMNO akan terus kekal sebagai parti yang terkuat dan terbesar di dalam negara ini.
“Ini kerana saya percaya, bahawa yang keramat itu adalah parti dan bukannya individu di dalam parti. Sebaik sahaja mereka ini keluar daripada UMNO dan wadah perjuangan orang Melayu, maka saya yakin dan percaya majoriti bangsa Melayu tidak akan bersama mereka.
“Jika kita selusuri sejarah UMNO itu sendiri, pengasas parti ini, Almarhumn  Dato Onn Jaafar juga keluar parti dan menubuhkan parti baru iaitu Parti Negara. Namun tindakan beliau itu jelas tidak mendapat sokongan daripada orang ramai khususnya bangsa Melayu. Ini kerana orang Melayu  sememangnya sayang pada perjuangan UMNO dan sayang mereka terhadap perjuangan parti melebihi sayang kepada individu atau pada pemimpin tertentu.
“Ya, memang kita sayang pada pemimpin. Ya, memang kita mempertahankan pemimpin. Tetapi apabila pemimpin itu memisahkan dirinya daripada perjuangan UMNO, memisahkan diri daripada parti keramat yang menjadi wadah perjuangan orang Melayu selama ini, maka ini bermakna mereka sudah tidak ada tempat di hati orang Melayu dalam perjuangan untuk agama, bangsa dan negara lagi,” ujarnya.-MediaUMNO  

Oleh Wan Hafiz Hamzah
Sumber : Klik Sini

Popular posts from this blog

3 Lagenda Malaysia Gegarkan Paralimpik Rio 2016

CERGASKAN DIRIMU DI HARI SUKAN NEGARA 2016